Soalan:
Apakah terdapat hadith yang menunjukkan bermegah dengan pembinaan masjid termasuk di dalam tanda-tanda kiamat?
Jawapan:
Dunia pada hari ini penuh dengan fitnah-fitnah atau banyaknya berlaku perkara-perkara yang luar biasa sehingga manusia merasakan bahawa hampir berlakunya kiamat. Ini menunjukkan kepada kita bahawa umat yang hidup di akhir zaman akan berdepan dengan pelbagai ujian dan cubaan. Ini kerana, hanya dengan keimanan yang teguh serta dengan ilmu yang sahih sahaja akan menyelamatkan kita semua daripada ujian dan cubaan ini.
Berdasarkan soalan di atas, Nabi SAW telah menceritakan kepada kita berkaitan tanda-tanda kiamat sama ada ia bersifa kecil atau besar dan bermegah-megah dengan masjid adalah termasuk di dalam tanda-tanda kiamat berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih daripada Nabi SAW.
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِي الْمَسَاجِدِ
“Tidak akan berlaku kiamat sehingga manusia bermegah-megah dengan masjid-masjid.”
[Riwayat Abu Daud (449), hadith ini sahih dan perawi-perawinya adalah perawi hadith sahih melainkan guru kepada Abu Daud adalah seorang yang thiqah menurut Syeikh Muqbil al-Wada’iy, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]
Hadith ini menunjukkan manusia akan bermegah-megah dengan pembinaannya iaitu masing-masing akan berbangga dengan masjidnya dengan menyatakan masjidku lebih tinggi, lebih cantik, lebih luas, lebih baik dengan riyak, sum’ah (suka didengari) serta mencari pujian. Ibn Ruslan mengatakan hadith ini merupakan mukjizat yang zahir berdasarkan apa yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tentang apa yang akan berlaku selepas kewafatannya. Tambahan pula, mengcantikkan masjid serta bermegah dengannya telah banyak berlaku pada zaman ini. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 2/84]
Selain itu juga, apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW ini telah berlaku di sebahagian masjid yang mana kos pembinaannya telah menelan belanja sehingga berjuta-juta. Daripada jumlah tersebut boleh dibina berpuluh ribu buah masjid sekiranya pembinaan tersebut sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. [Lihat: Al-Sahih al-Musnad min Dala’il al-Nubuwwah 590]
Dalam isu ini, kami cenderung untuk mengatakan membina masjid yang cantik, besar dan sebagainya tidak menjadi masalah kerana ia akan menunjukkan kehebatan serta keagungan agama Islam itu sendiri. Tambahan pula, ia juga perlu melihat kepada keperluan atau maslahah masyarakat di tempat tersebut. Akan tetapi, sekiranya masjid tersebut dibina dengan tujuan berbangga-bangga maka ia amatlah dilarang dan inilah yang dimaksudkan di dalam hadith ini.
Penutup
Kesimpulannya, bermegah-megah dengan masjid adalah termasuk di dalam salah satu tanda-tanda kiamat sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith di atas. Di samping itu juga, tanda tersebut telah berlaku pada zaman kita ini dan hadith ini juga menunjukkan kiamat telah hampir dengan kita seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini:
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam keadaan merapatkan dua jari Baginda SAW iaitu jari tengah dan telunjuk:
بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ
“Aku diutuskan dan jarakku antara kiamat adalah seperti dua jari ini.” [Riwayat Muslim (867)]
Akhirnya, semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberi kesedaran kepada kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya terselamat daripada fitnah dan ujian akhir zaman. Amin. Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media