Wanita Buruan Polis Komen "Hodoh" Pada Gambar Sendiri Di Facebook


Seorang wanita berusia 18 tahun yang diburu polis bagi kes pembunuhan menulis komen ‘hodoh’ pada gambarnya yang disiarkan di laman Facebook St Martin Crime Stoppers.

Pertubuhan sukarela itu menyiarkan gambar Precious Landry yang berkaca mata pada 12 Jun lalu, bagi membantu pihak berkuasa selepas wanita berkenaan terbabit dalam satu pembunuhan di Park, Los Angeles.

Menurut Daily Mail, Landry menulis di ruang komen Crime Stoppers bahawa ‘gambar itu hodoh’ dan meminta Crime Stoppers ‘membuat kerja dengan betul.’

Wanita itu juga ‘mempermainkan’ Crime Stoppers dengan menyatakan dia mempunyai gambar lain yang lebih menarik.

Komen Landry itu turut menarik perhatian polis yang membalas: “Precious Landry anda dialu-alukan datang ke Pejabat Sheriff untuk dirakam gambar baru.”

“Atau tunggu sehingga orang lain menangkap anda dan mendapat ganjaran AS$1,000 (RM4,100).”

Komen itu menjadi tular dan dikongsi lebih 3,000 kali serta menarik lebih 8,000 komen. Namun, Landry kemudiannya menyerah diri kepada polis pada hari yang sama.

“Landry sudah menyerah diri kepada pihak berkuasa. Terima kasih atas tip dan maklumat anda,” kata Crime Stoppers dalam status terbaharunya. Wanita itu kini ditahan di Pusat Pemulihan St Martin Parish.

Sumber: MyMetro

Sumber: Oh! Media