Wanita bawa anjing masuk restoran dikecam

TINDAKAN seorang wanita membawa masuk anjing ke sebuah restoran makanan segera di Seberang Jaya, malam tadi mengundang perasaan tidak selesa orang ramai khususnya pelanggan beragama Islam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, wanita berusia lingkungan 20-an bersama keluarganya dilihat masuk ke premis terbabit bersama seekor anjing.

Wanita berkenaan juga didakwa meletakkan anjingnya itu di atas kerusi premis terbabit sebelum menikmati makanannya.

Seorang pekerja swasta, Anuar Omar, 41, yang menyaksikan kejadian itu menegur tindakan wanita terbabit tetapi tidak diendahkan.

“Ketika itu, saya berada dalam kereta menunggu giliran untuk membeli makanan di bahagian pandu lalu sebelum melihat wanita terbabit bersama keluarganya melintas dengan seekor anjing memasuki premis.

“Saya menegurnya dari jauh kerana haiwan dilarang dibawa masuk ke mana-mana premis francais makanan segera itu, tambahan pula anjing yang pastinya mendatangkan ketidakselesaan khususnya pelanggan beragama Islam,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Messenger, hari ini.

Anuar berkata, dia yang tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan kerana ia adalah isu sensitif terus mengambil gambar wanita terbabit bersama anjing peliharaannya sebelum memaklumkan kepada pihak pengurusan restoran terbabit.

“Isu ini sensitif tetapi setiap pelanggan harus menanganinya dengan baik tanpa perlu ada kekecohan.

“Saya bersyukur dengan tindakan pantas yang diambil pihak pengurusan restoran makanan segera itu yang terus mengambil tindakan dengan menutup kawasan yang diduduki anjing terbabit untuk disamak ,” katanya.

Jelasnya, dia memuat naik gambar terbabit di akaun Facebook miliknya mengenai insiden itu dan tidak menyangka ia tular.

“Niat saya hanya untuk memaklumkan kepada kenalan berhubung kejadian yang mengejutkan itu disamping mengambil tindakan bijak apabila berdepan dengan situasi berkenaan.

“Sebelum ini, saya hanya mendengar ada yang membawa masuk anjing masuk ke restoran terbabit oleh kenalan lain dan tidak sangka saya pula yang menyaksikan kejadian ini di depan mata sendiri,” katanya.



Sumber: myterengganu.com