Tidak Mampu Beri Susu Badan, Bayi Berumur Dua Hari Di Tinggalkan


Hanya kerana tidak mampu memberi susu selepas bersalin, seorang wanita meninggalkan bayi yang baru dua hari dilahirkannya di sebuah rumah di Kampung Pompod, Kota Belud, Sabah.

Wanita itu turut meninggalkan nota merayu supaya pemilik rumah berkenaan menjaga bayinya seperti anak sendiri dengan alasan menghadapi masalah kewangan.


Antara isi kandungan nota berkenaan ialah pengakuan bahawa bayi yang dinamakan sebagai Yusuf itu belum merasai walau setitik susu badan ibunya.

“Sejak lahir Yusuf belum minum setitik susu. Biarlah Yusuf tinggal dengan puan. Saya sebagai ibu gagal menjaga Yusuf,” kata wanita berkenaan dalam nota yang ditinggalkan.

Bayi itu ditinggalkan di hadapan sebuah kediaman itu disedari pemilik rumah berusia 33 tahun selepas terdengar tangisan jam 5.30 pagi.

Difahamkan, bayi yang hanya berbalut kain itu ditinggalkan di kerusi berhampiran tangga rumah wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, pemilik rumah yang bekerja sebagai kerani itu tampil membuat laporan polis pada jam 8.57 pagi.

Katanya, wanita berkenaan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dengan membawa bersama bayi yang ditinggalkan bersama nota dipercayai daripada ibu kandungnya.

“Pengadu mendakwa, dia dan ibunya terdengar tangisan bayi sebelum keluar untuk memeriksa keadaan di luar rumah. Mereka menemui bayi terbabit dengan sekeping nota yang ditujukan kepadanya.

“Nota berkenaan meminta wanita terbabit menjaga bayi itu dan menyatakan tarikh lahirnya pada 29 Jun 2019,” katanya dipetik Harian Metro hari ini.


Mohd Zaidi memberitahu, setakat ini bayi berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh badannya.

“Pengadu mendakwa tidak mengetahui mana-mana saudara terdekat atau penduduk kampung yang baru melahirkan bayi.

“Susulan itu, polis akan menghantar pengadu dan bayi ke Hospital Kota Belud bagi menjalani ujian DNA untuk mengenalpasti hubungan mereka,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi yang boleh dikenakan dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sumber: New Malaysian Post

Sumber: Oh! Media