Starbucks Mohon Maaf Halau 6 Polis


Starbucks Corp hari ini memohon maaf selepas seorang pekerja di sebuah kedainya di Tempe, Arizona di sini meminta enam pegawai polis untuk meninggalkan premis itu. Dalam kejadian pada 4 Julai lalu itu, enam pegawai polis yang sudah membayar minuman mereka diminta beredar dari premis berkenaan selepas beberapa pelanggan merasa tidak selamat dengan kehadiran polis, kata Persatuan Pegawai Tempe di Twitter.

Susulan insiden itu, netizen mula menghantar komen di Twitter sebagai tanda sokongan kepada polis sambil melancarkan kempen #boycottstarbucks. Starbucks dalam satu kenyataan rasmi di laman web kepada Jabatan Polis Tempe berkata, layanan terhadap kumpulan anggota polis berkenaan 'langsung tidak boleh diterima'.

"Bagi pihak Starbucks, saya ingin memohon maaf kepada anda semua di atas pengalaman yang anda lalui di kedai kami 4 Julai lalu, kata naib presiden eksekutif rangkaian kedai kopi berkenaan, Rossann Williams.

"Apa yang berlaku di kedai kami pada 4 Julai lalu bukan satu pengalaman yang seharusnya dilalui oleh pegawai anda atau mana-mana pelanggan kami dan kami sudah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang," katanya.

Tahun lalu, syarikat itu terpalit dengan satu insiden perkauman membabitkan penahanan dua lelaki kulit hitam di sebuah kedai di Philadelphia. Starbucks kemudian menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah dan terpaksa menutup sementara 8,000 kedai di AS untuk menjalankan latihan anti perkauman.

+ Baca respon pembaca di Oh! Media.



Oh! Makan




Sumber: Oh! Media