Soalan:
Pada zaman sekarang dapat kita lihat bagaimana sebahagian maysarakat Islam di negara kita apabila makan mereka sangat berlebih-lebihan dan membazir. Mohon penjelasan apakah hukumnya sikap suka berlebihan ketika makan seperti ini?
Jawapan:
Tersebut dalam himpunan Lajnah Fatwa Oman seperti berikut:
Sesetengah dari amalan yang jelas kelihatan pada sebahagian manusia sekarang ini ialah melampau dan membazir pada makanan. Maka melampau adalah amalan yang dicela yang ditolak oleh agama Islam. Tiada layak dengan seorang hamba yang mukmin bahawa ia melampau dari kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.
Firman Allah Taala:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“Dan makanlah kamu semua dan minumlah dan jangan kamu melampau. Sungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang melampau batas.” (Al-A’raf: 31)
Bermula berlebih-lebih pada makan dan minum itu termasuk membazir kerana ada padanya perbuatan mengsia-siakan nikmat Allah yang sepatutnya disyukuri bukannya dikufuri.
Firman Allah:
وَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا* إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
“Dan berikanlah akan kaum kerabat akan haknya dan orang-orang miskin dan orang yang musafir dan jangan kamu melakukan pembaziran. Sungguhnya orang-orang yang suka membazir itu adalah mereka itu saudara syaitan. Dan adalah syaitan itu sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Isra’: 26 & 27)
Dan firman Allah lagi:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Dan ketika Tuhan kamu mengingatkan jika kamu bersyukur maka pasti akan ditambah nikmat kamu dan jika kamu kufur maka sungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Ibrahim: 7)
Dan telah diriwayatkan daripada Anas r.a adalah Rasulullah saw apabila makan akan makanan baginda menjilat jari-jarinya yang tiga dan bersabda:
إِذَا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْهَا الْأَذَى وَلْيَأْكُلْهَا، وَلَا يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ
“Apabila terjatuh makanan seorang kamu maka bersihkanlah dari kotoran kemudian makanlah. Jangan tinggalkannya untuk syaitan.”
Telah disuruh akan kami membersihkan mangkuk dan makan apa yang baki dari makanan. Dan Nabi saw bersabda:
فَإِنَّكُمْ لَا تَدْرُونَ فِي أَيِّ طَعَامِكُمُ الْبَرَكَة
“Maka sungguhnya kamu tidak tahu pada makanan yang manakah ada keberkatan.” [Riwayat Muslim]
Maka sayugia atas orang Islam supaya tidak menyediakan makanan dalam kadar yang terlalu banyak yang lebih dari hajatnya. Maka jika lebih dari hajatnya suatu maka Nabi saw telah menganjurkan bagi kita dengan sabdanya:
وَمَنْ كَانَ عِنْدَهُ فَضْلُ زَادٍ، فَلْيَعُدْ بِهِ عَلَى مَنْ لَا زَادَ لَهُ
“Barangsiapa yang ada disisinya kelebihan makanan hendaklah ia berikan atas orang yang kekurangan.” [Riwayat Abu Daud]
Wallahua’lam.
+ Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media