Serhii Andrieiev sah perkuat Terengganu FC dikempen Piala Malaysia


KUALA TERENGGANU: Bekas pertahanan Terengganu FC II (TFC II) Serhii Andrieiev beraksi cemerlang pada penampilan pertamanya bersama Terengganu FC (TFC) musim ini, ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan terakhir Liga Super.

Pemain kelahiran Ukraine berusia 29 tahun itu bukan saja kental bertahan tetapi berupaya menjaringkan gol menerusi tandukan seperti ketika dia meledak gol kedua TFC pada perlawanan dengan JDT itu yang berkesudahan 3-3.

"Dia (Andrieiev) bermain dengan baik di posisi pertahanan ketika bertemu JDT tempoh hari walaupun kali pertama beraksi dengan pasukan TFC,” kta Mohamad.

"Lebih menggembirakan kami, dia juga mampu menghasilkan jaringan selain menjadi pemain sasaran kita untuk meledak gol melalui situasi bola mati, jadi kehadiran pemain itu tepat pada masanya."

Sebelum ini, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu terpaksa mengerah kudrat pemain tempatan di posisi pertahanan bermula awal Jun lalu selepas bekas pemainnya, Igor Zonjic digugurkan kerana prestasi tidak konsisten.

Lebih malang pemain baharu yang menggantikan Zonjic, Luis Gustavo Camilo dari Brazil gagal menyarung jersi skuad itu selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) enggan mengeluarkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) kepada pemain itu gara-gara terlewat 30 saat mengemukakan dokumen penting dalam Sistem Pemadanan Perpindahan (TMS).

Rayuan yang dikemukakan badan induk bola sepak negeri itu juga ditolak FIFA sekali gus memaksa TFC mengambil pemain daripada pasukan 'adik' TFC II untuk memantapkan lagi posisi pertahanan lebih-lebih lagi selepas kehilangan Wan Ahmad Amirzarfran Wan Nadris yang mengalami kecederaan serius dan terpaksa berehat hingga tamat Liga Malaysia (Liga M) musim ini. - Berita Harian