Arak merupakan najis dan dosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Wajib sebagai umat Islam untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT dengan firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maidah: 90)
Minuman bukan arak yang menyerupai arak
Dalam hal ini, umat Islam telah diperintah supaya berpegang dengan prinsip tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai orang kafir pada sesuatu yang kita dilarang melakukannya.
Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan amalan dan tradisi dalam agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.” [Riwayat Abu Daud (4031)]
Sheikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka: “Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.” (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, 9/54)
Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bida'ah maka dia adalah dari kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram , 4/175)
Justeru, perbuatan minum arak dan mengadakan majlis minum arak merupakan amalan dan tradisi biasa bagi orang kafir. Sedangkan ia jelas terlarang dalam agama Islam. Maka umat Islam dilarang sama sekali meniru walaupun sekadar gaya perbuatan mereka yang meminum arak.
Imam al-Nawawi mengatakan, wajib dikenakan hukuman takzir kepada orang yang mengadakan majlis seperti gaya majlis minum arak. (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 10/174)
Ini seperti perbuatan mengedarkan gelas-gelas arak, dituang air dan dilagakan gelas antara satu sama lain sebelum minum.
Demikian juga yang disebut oleh al-Rahibani dalam Mazhab Hanbali bahawa diharamkan menyerupai golongan peminum arak, bahkan ditakzir pelakunya walaupun minuman itu sendiri halal. Jika berkumpul suatu kumpulan, diadakan majlis, dibawakan alat-alat minuman dan bekas-bekasnya, lalu dituangkan padanya minuman al-sakanjabin (bukan arak) atau seumpamanya, dengan dilantik seorang pelayan untuk melayani mereka. Di samping mereka saling mengucapkan perkataan-perkataan yang biasa diucapkan oleh peminum arak (seperti “cheers”), maka hukumnya adalah haram walaupun minuman itu halal kerana majlis tersebut menyerupai majlis peminum arak. (Lihat Matalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha, 6/219)
Hal ini sama dengan status minuman tidak beralkohol yang dikeluarkan oleh syarikat arak. Ini kerana selain daripada syarikat yang mengeluarkannya adalah syarikat arak, ia dipakejkan dalam bentuk botol arak dan mempamerkan jenama arak. Oleh itu, kami amat bersetuju dengan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-19 pada tahun 1987 berkenaan produk Malta Guiness yang antara lain menetapkan bahawa:
“Jawatankuasa fatwa tidak wajar mengisyhtiharkan minuman Guiness Malta ini halal, walaupun pada hakikatnya (kandungan) minuman ini halal kerana ditakuti menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.”
Kami melihat kaedah yang digunakan pada pengeluaran fatwa ini adalah amat tepat, dan ia sebenarnya merupakan kaedah sadd al-zari’ah (menutup pintu kemudaratan) dan mengambil kira fiqh ma’alat al-af’aal (fiqh implikasi). Ini kerana, institusi fatwa selaku badan berautoriti yang mewakili kerajaan dalam memelihara maslahah umat Islam hendaklah berpegang pada kaedah fiqh:
التَّصَرُّف على الرّعية مَنُوط بِالْمَصْلَحَةِ
“Segala polisi mestilah mengambil kira maslahah rakyat yang terlibat.”
Antara maslahah umat Islam yang ingin dipelihara dalam hal ini dapat dilihat seperti berikut:
- Bekas minuman halal yang menyerupai bekas minuman arak akan mendatangkan kekeliruan sehingga dikhuatiri umat Islam akan terjebak meminum arak dengan sangkaan ia bukan arak;
- Minuman halal yang diletakkan dalam bekas minuman arak berkemungkinan besar bertujuan sebagai strategi pemasaran untuk mempromosikan arak yang sebenar, melanggan minuman tersebut secara tidak langsung menyebabkan umat Islam terjebak dalam bersubahat menggalakkan industri arak;
- Pihak yang sengaja mengeluarkan produk minuman menyerupai bekas arak, semestinya mempunyai niat yang tidak baik, justeru sebagai seorang muslim wajib, mengelakkan diri daripada melanggan produk yang sedemikian.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Dalam isu ini, hendaklah dilihat berdasarkan dua kondisi berikut;
Pertama, bagi umat Islam, WAJIB menggunakan kuasa sebagai pengguna muslim yang bijak untuk menjauhkan diri daripada apa jua bentuk produk yang meragukan. Apatah lagi produk yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti arak. Rasulullah SAW bersabda:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
“Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.” [Riwayat al-Tirmizi (2708)]
Kedua, bagi pengusaha syarikat arak, jangan sekali-kali melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan minuman arak khususnya kepada umat Islam. Perbuatan tersebut hanya akan menimbulkan kekeliruan di samping menyentuh sensitiviti umat Islam. Sebarang produk yang dikeluarkan oleh syarikat arak, hendaklah dipamerkan status non-halal, diletakkan di tempat khas dan terasing daripada produk-produk halal. Kami turut menyeru kepada semua pengusaha produk seperti minuman atau makanan yang boleh menimbulkan sebarang keraguan, hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada badan berautoriti seperti Bahagian Hab Halal, JAKIM.
Akhir sekali, kami menyeru kepada pihak kerajaan agar menyediakan satu polisi yang jelas dan tegas dalam menangani isu sebegini. Dalam Siyasah Syar’iyyah, adalah menjadi tugas dan kewajipan pihak berkuasa membuang dan mencegah segala kemungkaran dan menghalang terjadinya sebab-sebab kemungkaran itu. Ketika membahaskan senarai perkara-perkara yang tidak boleh dizahirkan kepada orang-orang Islam oleh orang-orang kafir zimmi, Ibn Hajar al-Haitami mengatakan:
ومن إظهار منكر بيننا نحو خمر وخنزير وناقوس
“(Termasuk yang ditegah) ialah menzahirkan mungkar dalam kalangan kita orang-orang Islam, seperti arak, babi dan loceng gereja.”
Menurut beliau lagi, di antara sebab ia ditegah itu ialah kerana ia boleh membawa pelbagai kemungkaran. Selain daripada itu, perkara yang turut dilarang sama sekali tidak boleh dizahirkan ialah syiar atau lambang kekufuran dan kemungkaran. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/301)
Kami berpandangan, alangkah baiknya jika seluruh rakyat Malaysia dapat menghindarkan diri daripada hanyut dengan arak. Arak telah terbukti menjadi ibu bagi segala kerosakan masyarakat, perpecahan dan keruntuhan rumahtangga. Malah di dalam Islam, perbuatan meminum arak adalah satu maksiat yang wajib ditinggalkan.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media