Pengunjung pusat peranginan Genting Highlands di sini berdepan detik cemas apabila sebuah pokok hiasan di Sky Tropolis Park terbakar sebelum merebak ke dalam bangunan petang tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 6 petang itu melibatkan landskap yang menempatkan hiasan pokok bunga plastik sebelum ia merebak.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul yang mengesahkan kejadian itu berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands bersama satu jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.13 petang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian kita mendapati kebakaran berlaku di ruang tangga koridor pejalan kaki antara Hotel First World dan taman tema terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihaknya memadamkan api menggunakan satu aliran ‘hose reel’ dan tujuh unit alat pemadam api jenis debu kering.
“Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 10 peratus landskap itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kita masih lagi menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian,” katanya.
Sementara itu, Resort World Genting dalam satu kenyataan selepas kejadian memberitahu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan ekoran kebakaran tersebut.
Kenyataan itu menyebut, pihak bomba berjaya memadam kebakaran dalam tempoh kira-kira 10 minit.
“Lokasi lain di sekitar resort tetap dibuka kepada umum seperti biasa,” kata kenyataan itu.
Sumber: New Malaysian Post
Sumber: Oh! Media