Perlukah Makmum Masbuq Mengulangi Doa Qunut?


Soalan:
Saya terlewat datang solat Subuh, dan hanya sempat rakaat kedua dan membaca doa Qunut bersama imam. Apabila saya bangun untuk menambah rakaat, perlukah saya membaca doa Qunut sekali lagi?

Jawapan:
Membaca Qunut di dalam solat Subuh adalah termasuk di dalam perkara-perkara sunat di dalam solat mengikut mazhab al-Syafie. Ia dibaca semasa i’tidal (selepas bangun daripada ruku’) di dalam rakaat yang kedua pada solat Subuh dan ia juga dibaca di dalam rakaat yang kedua di dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga ia dibaca di dalam rakaat yang terakhir dalam mana-mana solat bagi qunut Nazilah. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, hlm. 89)

Antara dalilnya ialah hadith daripada al-Barra’ bin Azib RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ وَالمَغْرِبِ
“Adalah Nabi SAW berqunut pada solat Subuh dan Maghrib.” [Riwayat al-Tirmidzi (401). Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

Perlukah makmum masbuq mengulang bacaan Qunut?

Menurut Imam al-Syirazi, jika seseorang makmum masbuq sempat bersama dengan imam pada rakaat yang akhir, maka rakaat tersebut menjadi rakaat pertama bagi makmum tersebut. Ini berdasarkan athar daripada Sayyidina Ali bin Abi Talib RA:

ما أدركتَ فهو أوَّلُ صلاتِك
“Rakaat yang kamu sempat bersama imam menjadi rakaat pertama bagi kamu (makmum masbuq).” [Riwayat Imam al-Baihaqi dalam Al-Sunan al-Kubra (2/298)]

Jika solat itu mempunyai Qunut, maka dia hendaklah Qunut bersama imam, dan apabila dia bangun untuk menggantikan satu rakaat yang tertinggal, dia hendaklah Qunut sekali lagi, sebagaimana jika dia telah duduk tasyahhud bersama imam, dia perlu duduk dan membaca tasyahhud sekali lagi sewaktu menggantikan rakaat yang tertinggal itu. (Rujuk Al-Muhazzab 1/180)

Menurut Imam al-Nawawi, ini juga pandangan yang dipegang oleh Sa’id ibn Musayyib, Hasan al-Basri, Ato’, Umar ibn Abd al-Aziz, Makhul, al-Auza’ie dan lain-lain.

Namun menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad dan al-Tsauri, rakaat yang kita sempat bersama imam merupakan rakaat yang akhir, manakala rakaat yang perlu digantikan merupakan rakaat yang awal. Ini berdasarkan athar daripada Sayyidina Umar al-Khattab RA yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma:

مَا أَدْرَكَهُ آخِرُ صَلَاتِهِ وَمَا يَتَدَارَكُهُ أَوَّلُ صَلَاتِهِ
“Rakaat yang sempat didapati bersama imam menjadi rakaat akhir bagi makmum yang masbuq, dan rakaat yang digantikan menjadi rakaat awal baginya.”

Namun mazhab Syafi’e menguatkan pandangan mereka berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
“Solatlah bersama imam (walau berapa rakaat yang kamu sempat), dan gantikanlah rakaat yang kamu tertinggal.” [Sahih al-Bukhari (635) dan Sahih Muslim (602)]

[Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/220]

Tuntasnya, makmum masbuq perlu mengulang semula bacaan Qunut sewaktu menggantikan rakaat yang tertinggal, meskipun dia telah membaca Qunut bersama imam. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media