KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas memfailkan permohonan rasmi menuntut permohonan maaf daripada Najib Razak atas dakwaan bekas perdana menteri itu memuat naik komen sub judice berkaitan perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang sedang diadakan.
“Ini jelas ialah sub judice,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan dalam afidavit menyokong permohonan itu.
“Catatan itu juga bertujuan meraih sokongan daripada orang ramai untuk memberi tekanan dan mempengaruhi mahkamah.”
Pihak pendakwaan memohon perintah mahkamah untuk menghalang Najib daripada memuat naik kenyataan sedemikian berdasarkan bukti yang dikemukakan di mahkamah.
Katanya, Najib perlu memadam satu catatan Facebook mengenai perbelanjaan kad kreditnya seperti disebut dalam perbicaraan.
Dalam catatan itu, Najib berkata, kad kreditnya digunakan untuk membeli hadiah bagi seorang kerabat diraja dan ia adalah norma untuk memberi hadiah kepada orang kenamaan asing.
Pegawai AmBank, Yeoh Eng Leong memberitahu mahkamah RM3.9 juta dana SRC International digunakan pada 2014 dan 2015 untuk membayar bil kad kredit Najib.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dari SRC International ke akaunnya, bekas anak syarikat 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
Sumber: myterengganu.com