Paus pilot sirip pendek pula timbul di perairan Terengganu

DUNGUN – Selepas kehadiran dua ekor ikan paus pembunuh di perairan Terengganu baru-baru ini, kini muncul pula sekumpulan ikan paus pilot sirip pendek yang dikesan di perairan Besut, Rabu lalu.

Ikan-ikan paus itu dengan nama saintifiknya ‘Globicephala Macrorhynchus’ dijumpai sekumpulan nelayan dekat Pulau Perhentian, pada jarak 30 kilometer daripada pesisir pantai.

Mamalia itu dilihat berada dalam satu kumpulan sedang melalui perairan tersebut yang menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi mereka.

Ketua Cawangan Mamalia Marin (FRI) Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd.Tamimi Ali Ahmad berkata, dalam rakaman yang berdurasi 40 saat itu menunjukkan spesies terbabit bergerak dalam kumpulan populasi 10 hingga 50 ekor.

“Saiz haiwan tersebut dianggarkan sepanjang 3 hingga 7 meter dengan anggaran berat 1 hingga 3 tan bagi dewasa, dan 60 hingga 500 kilogram bagi anak.

“Berdasarkan rekod, ikan paus ini tidak pernah lalu perairan Terengganu dan kehadirannya baru-baru ini adalah yang pertama, kali terakhir spesies ini pernah direkodkan ialah mati terdampar di Sarawak pada tahun 2013 dan di Labuan pada 2015,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: myterengganu.com