Memandang ke hadapan dalam meneruskan kehidupan, Nazim Othman mengakui teringin untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi jika diberikan jodoh. Malah keinginan untuk memiliki sebuah keluarga juga turut tersemat.
"Saya sudah memulakan hidup baharu dan memandang ke hadapan. Biarlah apa yang berlaku sebelum ini menjadi sejarah. Pengalaman lalu mengajar saya untuk tidak mudah melatah apabila berdepan pelbagai situasi.
"Ada yang memberikan nasihat dan semangat, tidak terlalu memikirkan mengenai kegagalan perkahwinan lalu. Hakikatnya, saya tidak pula mengenang mahupun meratapi, cuma mereka yang membuat andaian sedemikian.
"Apa yang pasti, saya belum bertemu pengganti buat masa ini. Insya-Allah, jika diizinkan, saya ingin kembali mendirikan rumah tangga apabila tiba masanya. Saya tetap mahukan sebuah keluarga," katanya.
Menurut Nazim, menghadapi kegagalan rumah tangga sebelum ini bersama bekas isteri, Bella Dally membuatkan beliau menjadi insan yang lebih matang dan tidak terburu-buru membuat keputusan.
Terdahulu Nazim dan Bella telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 namun mengambil keputusan untuk bercerai pada Mei tahun lalu. Bagaimanapun perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
+ Baca respon pembaca di Oh! Media.
Sumber: Oh! Media