Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun didakwa nyaris menjadi mangsa culik van putih di kawasan Blok Teratai, Seksyen 6, Kota Damansara, semalam.
Menurut bapanya, Azman, 52, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7 pagi ketika anaknya berjalan ke sekolah seorang diri sebelum didatangi dua lelaki yang tidak dikenali.
Salah seorang suspek cuba mengumpan kanak-kanak itu dengan gula-gula, tetapi tidak diterima menyebabkan suspek menawarkan pula wang tunai RM50 dengan syarat masuk ke dalam van.
Takut dengan perkara yang tidak diingini, kanak-kanak itu terus berlari ke kedai berhampiran.
"Mujur anak saya sempat melarikan diri ke kedai berhampiran yang mana ketika itu ada orang lain menyebabkan dua lelaki menaiki van putih terus beredar," kata Azman yang hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh isterinya.
Ekoran kejadian itu, Azman membuat laporan polis dan anaknya tidak hadir ke sekolah semalam kerana masih trauma dengan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan sedang dijalankan.
Polis juga akan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di kawasan itu untuk mengetahui insiden tersebut.
Sumber: Harian Metro
Sumber : thereporter.my