“SIAPA lagi yang nak peluk, cium mak sebelum tidur? Mak rindu Rayyan sangat-sangat.”
Itu luahan Royani Masda, 37, yang menanggung beban rindu terhadap anak tunggalnya Abdul Rayyan Mijan, sembilan bulan yang meninggal dunia dipercayai lemas dalam baldi berisi air di sebuah pusat jagaan (taska) di Seksyen 32, Shah Alam, kelmarin.
Menurut Royani, dia tidak menyangka anak ditatang bagai minyak penuh itu meninggalkannya dalam keadaan menyayat hati hanya kira-kira 30 minit sebelum dia menjemput anaknya pulang.
“Semasa saya terima panggilan daripada pemilik taska menyatakan Rayyan berada di unit kecemasan Klinik Desa Jalan Kebun, saya sedang bersiap dari tempat kerja untuk mengambilnya pulang.
“Hati saya luluh apabila dapat panggilan itu dan naluri kuat mengatakan anak sudah meninggal dunia, namun saya cuba kuatkan hati kerana ini semua ketentuan Allah SWT.
“Sebaik tiba di klinik berkenaan, memang benar naluri saya apabila doktor tidak membenarkan saya melihat anak dan jururawat menenangkan saya sebelum ambulans membawa anak ke hospital,” katanya yang menetap di Jalan Kebun, Shah Alam.
Royani yang juga ibu tunggal terkilan bagaimana Rayyan boleh terlepas daripada pandangan pengasuh yang sepatutnya memantau pergerakan anaknya itu.
“Saya reda anak pergi kerana ini semua aturan Allah SWT. Namun, cara pemergiannya saya tidak boleh terima. Di mana pengasuh semasa anak saya merangkak ke bilik air seperti diceritakan itu?
“Saya tiada apa lagi dalam dunia ini, hanya Rayyan semangat saya untuk teruskan hidup. Saya tidak tahu bila saya boleh lupakan perkara ini,” katanya yang sudah menetap di Malaysia sejak lapan tahun lalu dan bekerja sebagai kedi di kelab golf berhampiran.
Menceritakan kejadian, semasa dalam perjalanan untuk menghantar Rayyan ke taska berkenaan, minyak motornya habis di tengah jalan seolah-olah petanda supaya tidak menghantar anaknya ke taska pada hari kejadian itu.
“Saya tidak pernah kehabisan minyak motosikal kerana sudah menjadi rutin saya menghantar Rayyan ke taska sejak dua minggu lalu setiap pagi.
“Namun, saya tidak endahkan perasaan ketika itu kerana saya sudah lambat ke tempat kerja yang terletak berhampiran dengan taska itu.
“Rupa-rupanya Rayyan hendak tinggalkan saya pada hari tu,” katanya.
Royani yang berasal dari Medan, Indonesia berkata, dia menghantar anaknya ke taska berkenaan pada kadar RM350 sebulan untuk memberi pendedahan kepada anaknya bergaul dengan bayi lain.
Katanya, Rayyan sangat ceria dan aktif dan tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya.
“Sebab itulah saya buat keputusan untuk hantar dia ke taska untuk bergaul dengan bayi sebayanya.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya anak akan mengalami nasib sebegini. Kini, tiada apa yang saya boleh lakukan untuk mengembalikan Rayyan di sisi saya,” katanya.
Katanya, dia mahu pihak yang bertanggungjawab ke atas kematian anaknya menerima hukuman setimpal supaya perkara sama tidak berulang.
“Hari ini anak saya jadi mangsa atas kecuaian orang lain. Esok, lusa kita tidak tahu apa akan terjadi jika tiada tindakan tegas dikenakan.
“Pihak taska perlu lebih berhati-hati apabila mengendalikan anak asuhan lebih-lebih lagi bayi yang baru pandai merangkak. Ini semua pengajaran yang sangat mahal untuk semua.
“Biarlah pihak polis menjalankan siasatan terlebih dahulu dan saya akan tunggu keputusannya,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan bayi sembilan bulan meninggal dunia dipercayai lemas selepas aktiviti ‘memancing’ di sebuah pusat jagaan (taska) di Seksyen 32, Shah Alam.
Nasib menimpa Rayyan itu turut tersebar selepas kisahnya dimuat naik dalam akaun Facebook Unit Khas Van Jenazah, berikutan ibu mangsa kurang berkemampuan untuk menguruskan jenazahnya.
Sumber: myterengganu.com