SHAH ALAM – Prosiding inkues mencari punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, ditutup selepas tiada lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Koroner Rofiah Mohamad hari ini berkata, mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi sedia ada.
“Setelah meneliti keterangan sedia ada, mahkamah tidak akan memanggil saksi lain,” katanya ketika membaca keputusan.
Bagaimanapun, tarikh keputusan inkues masih belum ditetapkan.
Dalam prosiding hari ini, Rofiah turut menjemput pihak berkepentingan untuk mengemukakan hujahan bertulis.
Katanya, hujahan berkenaan perlu dikemukakan sebelum atau pada 21 Ogos depan.
Setakat ini, hanya keluarga Muhammad Adib yang bercadang memasukkan hujahan bertulis.
Prosiding inkues punca kematian Muhammad Adib berjalan selama 41 hari bermula 11 Februari lalu.
Sepanjang prosiding, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil serta 137 eksibit dikemukakan.
Sumber: myterengganu.com