'Likes' Instagram Akan Disorok Mulai Hari Ini


Dalam usaha mengurangkan tekanan media sosial dalam kalangan anak muda, Instagram pada April lalu mengumumkan bahawa syarikat itu sedang menguji fungsi menyorokkan paparan likes pada kandungan yang dimuat naik oleh pengguna di Kanada.

Tidak terhenti di situ, Instagram pada Khamis mendedahkan bahawa cubaan fungsi itu akan dikembangkan ke tujuh negara lain termasuk Australia, Brazil, Ireland, Jepun, Itali, Kanada dan New Zealand.

Difahamkan, menerusi fungsi terbaharu ini, paparan likes pada setiap posting akan disorok secara default. Ini bermakna anda tidak boleh melihat jumlah likes yang diterima oleh pengguna lain terhadap kandungan yang dimuat naik oleh mereka.

Bagaimanapun, pemilik akaun masih boleh melihat jumlah likes yang mereka terima. Menurut Instagram, mereka berharap dengan fungsi baharu ini pengguna akan memberi lebih fokus kepada kandungan yang dimuat naik dan bukan jumlah likes yang diterima.


"Apabila likes didedah kepada orang ramai, ia menjadi satu ketagihan. Orang melihat likes sebagai satu metrik kejayaan, mengusik mereka yang mendapat likes yang sedikit. Malah ada yang sanggup membeli likes untuk menarik perhatian pengguna lain.

"Jadi fungsi terbaharu ini akan mengubah cara pemikiran pengguna. Kami akan meluaskan lagi percubaan ini kepada beberapa lagi negara untuk melihat pengalaman mereka," katanya.

Sementara itu, jurucakap Instagram memberitahu TIME bahawa mereka mencuba untuk melakukan perubahan itu kerana mahukan pengikut di akaun masing-masing fokus kepada gambar atau video yang dimuat naik dan bukan jumlah suka atau tontonan.

Pelbagai maklum balas yang diterima menerusi komen menyatakan ada yang setuju dan sebaliknya. Menurut Instagram, cubaan pertama yang dilakukan adalah di Kanada pada Mei lalu.

Pada masa sama, Instagram turut memperkenalkan beberapa ciri dan polisi baharu untuk mengelakkan gejala buli dalam aplikasi itu. Ciri Restrict diperkenalkan bagi membolehkan pengguna mengawal interaksi mereka dengan pengguna lain menerusi akaun masing-masing. Instagram pada Khamis turut mengumumkan pengguna akan menerima notifikasi apabila akaun mereka berdepan dengan risiko tidak aktif.

+ Baca respon pembaca di Oh! Media.



Oh! Makan



Sumber: Oh! Media