Kenyataan & Permohonan Maaf Secara Rasmi Berkaitan Isu Para Penulis Baharu Oh! Media

KENYATAAN RASMI | 19 JULAI 2019

Berikutan baru-baru ini terdapat beberapa laporan berkaitan aktiviti mengambil bahan (walaupun dengan sumber tetapi tanpa izin) dan membuat salinan (tanpa izin) dari beberapa laman web utama lain melibatkan Oh! Media, ini merupakan penjelasan dan kenyataan rasmi dari pihak kami.

Lebih 10 tahun berada di dalam industri penulisan web dan blog, kami sangat memahami soal kredibiliti tentang penulisan yang diterbitkan yang mana isu seperti ini tidak pernah lagi berlaku sebelum ini. Namun begitu, bagaimana permasalahan ini boleh terjadi baru-baru ini?

Pada bulan Mei 2019, kami telah membuka peluang (buat pertama-kalinya) untuk para pelajar dari beberapa universiti di Malaysia menjalankan Latihan Industri (Internship) mereka di syarikat kami. Antara kerja/task yang diberikan termasuklah menerbitkan artikel-artikel sebagai salah-satu cara pembelajaran mereka selain dari beberapa tugasan lain lagi.


Selain dari pelatih industri, terdapat juga beberapa pekerja baru yang diserap masuk ke dalam Oh! Media untuk membangunkan dan menerbitkan konten berkaitan e-Sport melalui Oh! Media. Para pekerja ini terikat dengan tempoh percubaan selama 2 bulan.

Kami memberikan kebebasan kepada para pekerja baru ini dan juga para pelatih industri ini berkarya mengikut cara mereka sendiri. Ada artikel penulisan mereka yang dikeluarkan ke portal kami dan ada yang ditolak kerana tidak mengikut apa yang diharapkan.

Dukacitanya dimaklumkan, sebagai manusia biasa sememangnya ada artikel yang berjaya kami kesan mengambil rujukan dari pihak lain dan ianya telah ditolak secara terus untuk dipaparkan. Bagaimanapun masih ada artikel hasil dari penulisan mereka ini yang kami terlepas pandang dan akhirnya dikeluarkan kepada umum sekaligus mewujudkan isu yang memburukkan imej sebuah penjenamaan ini.

Antara Tindakan Susulan Yang Telah Diambil Setakat Ini.

1. Semua artikel melibatkan E-Sukan (kategori ini baru diperkenalkan sejak Mei 2019) telah ditarik secara keseluruhan.

2. Sebahagian artikel dari pelajar Latihan Industri juga telah ditarik-balik mengikut mana yang mereka akui telah diterbitkan dengan mengambil sumber dari pihak lain (dengan izin atau tanpa izin).

3. Amaran keras telah diberikan kepada para penulis yang terlibat agar perkara ini tidak berulang lagi (walau sekalipun) dan jika berlaku lagi, Oh! Media tidak teragak-agak untuk memecat atau memberhentikan mereka ini serta-merta.

4. Editor yang seharusnya bertugas untuk meneliti semua artikel sebelum dipaparkan telah diberhentikan serta-merta dari bahagian seliannya.

------------------------------

Kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas aduan yang diberikan oleh para netizen di Twitter berkenaan perkara ini terutamanya pihak yang benar-benar terlibat secara langsung seperti saudara Faiz Tobeng, saudari Mariah A (@wtmtoday), dan juga pihak Astro Awani.

Kejadian sebegini memberi satu kesan yang sangat mendalam kepada Oh! Media agar lebih berhati-hati lagi di masa akan datang. Ingin kami tekankan di sini bahawa kami menolak sekeras-kerasnya sejak dahulu lagi bagi sebarang aktiviti dan tabiat sebegini. Kami juga merayu kepada para pengamal media dan netizen untuk menegur apa sahaja kesilapan yang kami lakukan agar dapat kami perbaiki dari semasa ke semasa. Semoga ianya dapat memberikan kesan positif kepada semua pihak di masa akan datang.

Tahun ini merupakan tahun ke-10 laman web Oh! Media beroperasi dan isu sebegini tidak pernah terjadi sebelum ini melalui para penulis tetap kami yang terdahulu. Perkara seperti ini sekaligus membuka mata kami untuk lebih berhati-hati dalam meneliti pengambilan pelajar dan juga pekerja di masa akan datang.

Kepada semua pihak yang terlibat terutamanya para pengamal media di Malaysia, kami di Oh! Media seluruhnya memohon maaf seikhlas hati dan berjanji perkara sebegini tidak sesekali akan berlaku lagi di masa hadapan.

- KH
Sumber: Oh! Media