Kentut Wangi Selepas Makan Pil Ini? Serius Lah?!



Sebuah syarikat Perancis yang berpangkalan di Paris mendakwa berjaya mencipta pil yang mampu membuatkan kentut berbau harum.

Pil berkenaan dihasilkan Christian Poincheval yang menetap di pekan di barat negara itu dan mendakwa ia boleh menukar kentut yang busuk menjadi wangi seperti bau bunga mawar atau coklat. Poincheval mendakwa, dia sudah menghasilkan pil itu sejak 2007.

Laman web syarikat berkenaan mendakwa, pil itu organik sepenuhnya dan tidak berasaskan perubatan atau dadah dalam produk itu. Dakwa laman web berkenaan: “Pil Kentut ini adalah hasil penyelidikan dan percubaan panjang dan sudah dijual sejak 2007.

“Pelbagai wangian juga menambahkan sentuhan jenaka bagi sebarang keadaan. Ramai pelanggan yang kembali mendapatkan produk adalah bukti terbaik.”

Poincheval ditemubual akhbar Telegraph beberapa tahun lalu dan berkata beliau memutuskan untuk cuba menghasilkan produk itu susulan keperluan selepas satu majlis makan malam dicemari bau kentut busuk.

“Bau kentut amat busuk, kami hampir lemas. Sesuatu perlu dilakukan,” katanya.

Katanya, pelanggan pelbagai peringkat membeli produknya.

“Saya ada pelbagai pelanggan. Ada yang membelinya kerana mereka bermasalah dengan kentut. Sebahagiannya membeli sebagai bahan jenaka untuk diberikan kepada rakan. Penjualan meningkat pada musim Krismas,” katanya. 

Sumber: New Malaysian Post


Sumber: Oh! Media