Soalan:
Apakah terdapat hadith daripada Nabi SAW berkaitan kedudukan orang makan yang bersyukur sama seperti orang berpuasa yang sabar?
Jawapan:
Ibadah puasa mempunyai banyak kelebihan sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW. Ini kerana, setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah SWT pasti mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan tersebut. Tambahan pula, Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis sebagaimana yang dinyatakan oleh isteri Baginda SAW yang tercinta:
Daripada Aisyah RA, berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
“Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” [Riwayat al-Tirmidzi (745)]
Berdasarkan kepada soalan di atas, memang terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kedudukan orang makan yang bersyukur sama seperti orang berpuasa yang sabar. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الطَّاعِمُ الشَّاكِرُ بِمَنْزِلَةِ الصَّائِمِ الصَّابِرِ
“Orang makan yang bersyukur sama kedudukannya seperti orang berpuasa yang sabar.” [Riwayat al-Tirmidzi (2486) dan Ibn Majah (1764), Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan gharib, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum hadith ini sebagai hasan]
Melihat kepada hadith ini, Syeikh al-Talidi berkata: “Yang dimaksudkan dengan orang yang makan di dalam hadith ini adalah orang yang jarang berpuasa. Adapun yang dimaksudkan dengan bersyukur pula adalah orang yang mendirikan hak-hak ketika makan seperti memuji Allah SWT serta menggunakan kekuatan yang ada pada jalan ketaatan kepada Allah SWT. Dengan itu, dia akan mendapatkan pahala daripada Allah SWT. Tambahan pula, yang difahami daripada maksud kedudukan adalah pada ganjaran yang akan diperolehi.
Selain itu, maksud orang yang berpuasa pula adalah seseorang yang selalu berpuasa dan jarang sekali tidak berpuasa serta mereka bersabar dengan kelaparan, dahaga dan sebagainya. Di samping itu juga, hadith ini juga menunjukkan kelebihan orang kaya yang bersyukur dengan orang miskin yang bersabar.” [Lihat: Jawahir al-Bihar, 1/473]
Kata al-Qari: “Cara paling kurang bersyukur adalah dengan membaca Bismillah ketika makan dan mengucapkan alhamdulillah setelah selesai. Adapun tahap sabar yang paling kurang adalah dengan memelihara dirinya daripada melalukan perbuatan yang merosakkan (membatalkan) puasa. Selain itu, kata al-Muzahhar perumpamaan ini pada layaknya mereka untuk mendapat ganjaran atau pahala daripada Allah SWT.” [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 7/160]
Tambahan pula, zahir hadith menunjukkan persamaan pada ganjaran tetapi yang dimaksudkan adalah keduanya berhak mendapat ganjaran. [Lihat: Hasyiah al-Sindi, 4/25]
Penutup
Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan kedudukan orang makan yang bersyukur sama seperti orang berpuasa yang bersabar adalah hasan dan keduanya berhak mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Ini juga menunjukkan kelebihan bagi orang yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT serta sentiasa bersabar dalam melaksanakan amal ibadah kepada-Nya. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita serta memasukkan kita ke dalam syurga-Nya. Amin. Wallahua’alam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media