KASIH sayang seorang suami hingga ke syurga. Itulah ungkapan paling sesuai buat suami muda ini yang sabar dan gigih menjaga isterinya yang terlantar sejak setahun yang lalu.
Shahidatul Nadiana, 25, disahkan menghidap penyakit asma kronik selepas mengalami sesak nafas pada 7 November tahun lepas.
Suaminya, Abdul Rahim Alias, 25, redha dengan ketentuan Ilahi dan akan terus menjaga isterinya yang terlantar.
Menurut Abdul Rahim, walaupun pendapatannya sebagai petani tidak menentu, sumbangan dari orang ramai yang menziarah sangat membantu.
“Walaupun pendapatan saya sebagai petani tidak menentu, namun sumbangan mereka yang datang menziarah selain simpanan yang ada, sedikit sebanyak meringankan beban untuk membeli barangan keperluan.”
Malah, perbelanjaan bulanan untuk isterinya kini mencecah sehingga RM2000.
“Setiap bulan saya perlu membelanjakan sehingga RM2,000 untuk membeli susu khas, lampin pakai buang, kos menyewa ambulans setiap kali temu janji termasuk sewa mesin oksigen RM350.
Rahim membantu untuk memberi isterinya minum susu melalui tiub yang dipasang di hidungnya lima kali setiap hari.
“Susu berharga RM45 setin hanya bertahan untuk sehari dan diberi minum lima kali sehari setiap empat jam melalui tiub yang dipasang di hidungnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Walaubagaimanapun, kisah malang wanita itu mendapat perhatian daripada PERKESO Negeri Kelantan.
Wakil PERKESO hadir menyerahkan sumbangan cek bagi meringankan kesusahan yang ditanggung.
Rahim memberitahu sebelum terlantar isterinya pernah bekerja di restoran makanan segera selama lima tahun.
Namun kini dia hanya mampu terlantar dan perlu diuruskan setiap masa oleh Rahim. Hanya mata saja yang mampu digerakkan sebagai tanda isyarat.
“Saya sedih dan tidak dapat menahan air mata dari mengalir setiap kali menatap wajahnya dan jauh di sudut hati untuk melihatnya tersenyum seperti dulu,”
Isterinya itu mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.
Manakala melalui semakan PERKESO, isterinya juga layak untuk mendapat pencen ilat sebanyak RM491.83 sebulan dan elaun layanan sentiasa (ELS) berjumlah RM500 sebulan kepada penjaganya.
Malah, bantuan alat pemulihan secara berkala seperti susu khas, lampin pakai buang, beg air kencing, saluran tiub dan mesin oksigen juga akan diberikan.
Ternyata keikhlasan hati Rahim menjaga isterinya itu menjadi perhatian para netizen dan membuatkan ramai tersentuh hati.
Semoga Shahidatul Nadiana cepat sembuh dan dipermudahkan urusan keluarganya.
Sumber: myterengganu.com