Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 35, berkata dia terkejut apabila anaknya, Aisy Mateen yang berusia tiga tahun tiba-tiba mencium bibirnya, sedangkan dia sudah melarang perbuatan itu sebelum ini.
"Mulut adalah bahagian peribadi yang tidak boleh disentuh, dicium dan dipegang sesuka hati oleh orang lain, walaupun ayah dan ibu sendiri. Ciuman terbaik untuk anak adalah pada ubun, dahi, pipi dan tangan. Apabila anak besar nanti, mereka akan terbiasa kerana sudah diajar sejak kecil. Cium bibir ini bukan budaya kita dan ajaran Islam," katanya.
Pelakon Adnan Sempit itu berkata, ibu bapa tidak sepatutnya membenarkan perbuatan itu dan isu berkaitan pendidikan seksualiti perlu disemai sejak anak kecil supaya anak memahami perkara yang dilarang. Sebagai ibu, Yana berkata, dia risau sekiranya perbuatan itu dilakukan anaknya terhadap orang lain yang mungkin menimbulkan salah faham.
"Saya memang menitikberatkan mengenai kebersihan dan imunisasi, tetapi penting juga untuk menerapkan pendidikan seksualiti. Semalam, Mateen tiba-tiba mencium bibir saya ketika sedang bersiaran secara langsung menerusi Instagram. Saya terkejut, tidak tahu siapa yang ajar dia berbuat demikian.
"Saya beritahu dia, boleh cium, tetapi hanya di pipi dan dahi, bukan bibir. Kalau ada orang lain buat, halang mereka atau jerit kuat-kuat. Perbuatan itu salah. Saya risau sangat jika tidak dilarang, apabila bersekolah nanti, tiba-tiba dia mencium kawannya atas alasan sayang," katanya. Yana mendirikan rumah tangga dengan adik Datuk Farid Kamil, Fadzil Zahari pada 13 April 2015 dan dikurniakan Mateen pada 21 Julai 2016.
+ Baca respon pembaca di Oh! Media.
Sumber: Oh! Media