Hukum Sengaja Meninggalkan Basuhan Sunat Wudhu’


Soalan:
Telah menjadi tabiat saya jika sekiranya cuaca sejuk seperti waktu Subuh contohnya, maka saya akan mengambil wuduk dengan membasuh anggota yang wajib sahaja. Saya tinggalkan anggota sunat wuduk dengan sengaja seperti memasukkan air ke dalam hidung, membasuh telinga dan lain-lain. Apakah dibolehkan saya melakukan perbuatan tersebut?

Jawapan:
Perkara pertama yang perlu untuk ketahui bahawa ibadah sunat itu terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:

Sunat Muakkad: Sunat yang sangat dituntut iaitu perbuatan yang jika dilakukan mendapat pahala, tidak berdosa meninggalkannya, namun selayaknya mendapat celaan dan kutukan jika sengaja meninggalkannya. Ia adalah sunat yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW daripada perkara ibadah yang jarang sekali ditinggalkan oleh Baginda SAW seperti solat berjemaah, azan dan iqamah, membaca surah lain selepas membaca surah al-Fatihah di dalam solat dan lain-lain. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islami li Wahbah al-Zuhaili, 1:84)

Sunat Tidak Muakkad: Sunat yang disyariatkan tetapi tidak dituntut seperti Sunat Muakkad, iaitu perbuatan yang jika dilakukan mendapat pahala dan tidak berdosa meninggalkannya, serta tidak selayaknya mendapat celaan dan kutukan jika meninggalkannya. Ia adalah ibadah sunat yang dilakukan Rasulullah SAW sekali-sekala dan Baginda SAW meninggalkan dalam banyak ketika seperti solat sunat empat rakaat sebelum solat Asar, berpuasa pada hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu dan lain-lain. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islami li Wahbah al-Zuhaili, 1:84)

Sunat Zawaid: Sunat yang bersifat penyempurnaan bagi seseorang mukallaf, iaitu seperti perbuatan adat kebiasaan Rasulullah SAW. Hal ini seperti SAW seperti mengikuti cara makan dan minum, cara berjalan, tidur dan cara berpakaian Nabi SAW. Mengikut kepada cara sebegini sebenarnya lebih kepada penyempurnaan kerana ia menunjukkan kecintaan yang tinggi kepada Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun, sesiapa yang tidak melakukan dengan cara sebegini, ia tidak menjadi kecelaan terhadap dirinya. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islami li Wahbah al-Zuhaili, 1:84)

Para ulama’ telah menetapkan bahawa terdapat anggota-anggota badan yang wajib dibasuh ketika mengambil wuduk. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.” (Surah al-Maidah: 6)

Anggota-anggota wuduk yang wajib untuk dibasuh ialah:

  • Seluruh muka beserta niat.
  • Membasuh tangan hingga ke siku.
  • Membasuh sebahagian daripada kepada sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut.
  • Membasuh kaki sehingga ke buku lali.
  • Hendaklah membasuh anggota-anggota tadi mengikut tertib.

Selain daripada anggota-anggota wajib tersebut maka hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkad). Ini seperti membaca Basmalah ketika mula mengambil wuduk, membasuh tangan sebelum memasukkannya ke dalam bekas air, berkumur, memasukkan air ke dalam hidung, membasuh seluruh kepala, membasuh kedua-dua telinga, memulakan setiap anggota dengan anggota sebelah kanan, melaksanakannya secara berturut-turut, mengosok, membasuh setiap anggota dengan tiga kali basuhan dan lain-lain. (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja: 20)

Justeru, meninggalkan sesuatu ibadah sunat yang dituntut (sunat muakkad) adalah satu perbuatan yang tidak berdosa namun selayaknya dicela kerana sengaja meninggalkan perintah daripada Nabi SAW. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri menyuruh umatnya supaya memperelokkan wuduk dan menjanjikan bahawa sesiapa yang memperelokkan wuduknya maka akan keluarlah dosa-dosanya sehingga keluar juga dari kuku-kukunya. Rasulullah SAW bersabda:

منْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الوضوءَ، خَرَجَت خَطَايَاهُ مِنْ جسَدِهِ حتَّى تَخْرُجَ مِنْ تحتِ أَظفارِهِ
“Barangsiapa yang mengambil wuduk kemudian memperelokkan wuduknya, maka akan keluarlah dosa-dosanya daripada badannya, sehingga keluar juga dosa-dosa tersebut daripada kuku-kukunya.” [Riwayat Muslim: (1026)]

Di samping itu juga, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada golongan yang tidak melaksanakan wuduk dengan betul dan bersikap sambil lewa terhadapnya, Baginda SAW bersabda:

تَخَلَّفَ عَنَّا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فَأَدْرَكَنَا وَقَدْ أَرْهَقَتْنَا الصَّلَاةُ وَنَحْنُ نَتَوَضَّأُ فَجَعَلْنَا نَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا
“Nabi SAW pernah terlewat menyertai kami dalam suatu perjalanan yang kami lakukan. Ketika Baginda menyusuli kami, waktu solat sudah hampir habis. Kami lalu berwuduk dengan hanya mengusap kaki kami (tidak sempurna membasuhnya). Maka Nabi SAW menyeru dengan suara yang keras: “Celakalah bagi tumit-tumit yang tidak basah akan masuk neraka.” Baginda menyeru hingga dua atau tiga kali.” [Riwayat al-Bukhari: (60)]

Manakala mengikut lafaz dalam Sahih Muslim, Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma berkata:

رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ
“Kami pulang bersama Rasulullah SAW dari Mekah menuju Madinah. Di tengah perjalanan, kami tiba di suatu tempat yang terdapat air. Sebahagian orang tergesa-gesa berwuduk kerana takut waktu Asar akan habis. Ketika kami menghampiri mereka, kami melihat tumit mereka kering, tidak disentuh oleh air. Lalu Nabi SAW bersabda: “Celakalah tumit-tumit (yang tidak terbasuh dengan air wuduk) yang akan terkena api neraka. Sempurnakanlah wuduk kamu dengan baik.” [Riwayat Muslim: (593)]

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa anggota-anggota wuduk selain daripada anggota wajib yang telah disebutkan, maka ia merupakan sunat yang dituntut (sunat muakkad). Ini kerana hal tersebut merupakan perkara yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW dan jarang Baginda SAW meninggalkannya.

Oleh itu, barangsiapa yang melakukannya maka dia mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Walau bagaimanapun, sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja, maka dia tidaklah berdosa jika sekiranya mempunyai sebab dan alasan tertentu seperti cuaca yang sejuk dan sebagainya.

Namun, jika dia sengaja meninggalkannya secara berterusan dan tanpa sebab dan alasan yang munasabah, maka hukum bagi orang yang meninggalkan anggota sunat wuduk dalam keadaan berterusan dan tiada sebab tersebut adalah makruh.

Justeru itu, kami menyeru agar kita semua sentiasa berusaha untuk melaksanakan ibadah dengan sempurna dan sebaik mungkin dengan tidak meninggalkan basuhan anggota sunat wuduk tersebut jika tiada keuzuran untuk melakukannya. Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayah-Nya untuk kita sentiasa taat beribadah kepadanya sepanjang masa. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media