Soalan:
Apakah hukumnya seseorang makmum yang masbuq itu terus bangun untuk menyempurnakan baki-baki perbuatan solatnya sebaik sahaja imam selesai bagi salam yang pertama? Atau adakah perlu menunggu sehingga selesai imam bagi salam yang kedua?
Jawapan:
Dari sudut bahasa, kalimah al-masbuq merupakan isim maf’ul. Fi’il (perbuatannya) adalah sabaqa. Maka disebut sabaqahu iaitu apabila seseorang itu mendahului orang yang lain.
Manakala dari sudut istilah, masbuq adalah seseorang yang mana imam telah mendahuluinya dalam beberapa rakaat solat atau keseluruhan rakaat solat. Ataupun dia adalah seorang yang sempat bersama imam selepas berlalunya satu rakaat atau lebih. [Rujuk Al-Qamus Al-Muhith, Fairuz Abadi]
Seperti yang dimaklumi oleh umum, solat merupakan sebuah ibadah yang mempunyai permulaan dan juga penyudahannya. Solat dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. Majoriti ulama berpendapat bahawa permulaan solat adalah dengan lafaz dan juga niat masuk ke dalam solat, manakala penamat solat juga melalui lafaz dan niat keluar dari solat.
Penamat bagi solat adalah lafaz salam sebanyak dua kali, dan ini merupakan petunjuk Nabi S.A.W. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ma’mar beliau berkata:
أَنَّ أَمِيرًا كَانَ بِمَكَّةَ يُسَلِّمُ تَسْلِيمَتَيْنِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ أَنَّى عَلِقَهَا قَالَ الْحَكَمُ فِي حَدِيثِهِ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَفْعَلُهُ
“Sesungguhnya seorang Amir (Gabenor) di Makkah memberi salam sebanyak dua kali (untuk selesai dari mendirikan solat).” Lalu Abdullah (bin Mas’ud) bertanya: “Daripada manakah dia mendapat sunnah ini?” Maka Al-Hakam berkata: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melakukan hal tersebut.” [Riwayat Muslim (581)]
Menerusi hadis di atas, dapat difahami bahawa gabenor Makkah menjadi imam dalam solat berjemaah dan memberi salam sebanyak dua kali salam pada penghujung solat. Lalu perbuatan ini dikagumi dan dipuji oleh Ibn Mas’ud kerana menepati sunnah Nabi S.A.W.
Dr. Musa Syahin menyebutkan beberapa feqh hadis dalam syarahan beliau ke atas hadis Abu Ma’mar di atas. Berikut kami kongsikan secara ringkas pandangan beliau tersebut:
- Hadis ini menunjukkan kepada pensyariatan dua kali salam.
- Hukum dan kaifiat salam adalah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi: “Mazhab kami (Al-Syafi’eyyah) berpendapat bahawa memberi salam merupakan perkara fardhu dan juga rukun solat. Yang mana tidak sah solat melainkan dengan melakukannya. Inilah pendapat jumhur ulama dari kalangan para sahabat, tabiin, dan generasi selepas mereka. Inilah juga pendapat Imam Malik, Imam Al-Syafi’e, Imam Ahmad, dan juga para ashab lalu mereka berkata; Apabila seorang yang bersolat itu keluar (selesai) dari solatnya tanpa melafazkan salam maka solatnya adalah batal.”
- Kata Imam al-Nawawi: “Para ulama yang kami berpegang dengan mereka telah berijma’ bahawa tidak wajib melainkan sekali salam sahaja. Sekiranya seseorang itu memberikan satu salam sahaja, maka disunatkan kepadanya untuk memberi salam menghala ke hadapan. Manakala jika dia memberi dua salam maka dia menjadikan salam yang pertama menghadap ke arah kanan, dan salam yang kedua menghadap ke arah kiri. Dia berpaling dalam setiap salam sehingga orang di sebelahnya dapat melihat pipinya, dan inilah pendapat yang sahih.”
- Makmum hendaklah memberi salam sesudah imam memberi salam.
- Kata Imam Al-Baghawi: “Disunatkan untuk seorang (makmum tidak memulakan salam sehinggalah imam selesai memberikan kedua-dua salam.”
- Manakala Al-Mutawalli pula berpendapat bahawa disunatkan untuk makmum memberi salam sebaik sahaja imam selesai salam yang pertama.
- Dan tidak disunatkan bagi makmum yang masbuq untuk berdiri meneruskan baki-baki (perbuatan solat) pada dirinya melainkan setelah imam selesai dari kedua-dua salam.
[Rujuk Fath al-Mun’im Syarah Sahim Muslim, Dr. Musa Syahin (3/258)]
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, berikut kami kongsikan sebuah kenyataan daripada Imam Al-Nawawi Rahimahullah:
“Para ashab kami (Al-Syafi’eyyah) telah bersepakat bahawa disunatkan bagi seorang yang masbuq untuk tidak berdiri bagi mengerjakan apa-apa yang berbaki (dari perbuatan solat) melainkan setelah imam selesai dari kedua-dua salam. Antara yang menjelaskan pendapat ini adalah Imam al-Baghawi, al-Mutawalli, dan selain mereka.
Dan Imam al-Syafi’e telah menaskan hal ini (seperti yang disebutkan) dalam Mukhtasar al-Buwaithi dengan kata beliau: Sesiapa yang imam telah mendahuluinya dengan beberapa perbuatan solat, maka janganlah dia bangun untuk menyelesaikan baki-baki perbuatan solat melainkan setelah imam selesai dari memberikan kedua-dua salam.”
Namun ini bukanlah bermakna bahawa sekiranya seorang makmum itu terus bangun sebaik sahaja imam selesai memberi salam yang pertama menjadikan solatnya itu tidak sah. Ini seperti yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:
“Para ashab kami berpendapat bahawa sekiranya seorang (yang masbuq) itu berdiri setelah imam selesai dari perkataan Assalamu‘alaikum’ pada salam yang pertama maka hal tersebut adalah dibolehkan. Ini kerana imam telah keluar (selesai) dari solat (melalui salam yang pertama).”
Manakala keadaan yang boleh menyebabkan terbatalnya solat seorang yang masbuq itu adalah apabila dia bangun sebelum imam mula memberi salam. Kata Imam al-Nawawi: “Sekiranya seorang (yang masbuq) itu bangun sebelum imam mula memberi salam maka solatnya terbatal, melainkan dia berniat untuk mufaraqah (berpisah) dengan imam.”
[Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/483)]
Kesimpulan
Sebagai penutup, setelah kami meneliti beberapa pendapat yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa makmum yang masbuq disunatkan untuk bangun bagi melengkapkan beberapa perbuatan solat yang masih berbaki setelah imam selesai memberikan kedua-dua salam. Meskipun begitu, sekiranya makmum yang masbuq tersebut bangun sesudah imam memberi salam yang pertama, maka hukumnya adalah dibolehkan dan solatnya adalah sah. Ini kerana, salam yang pertama adalah rukun dan wajib hukumnya, manakala salam yang kedua adalah sunat sahaja.
Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media