Hukum Haji Bagi Kanak-Kanak


Soalan:
Apakah hukum ibadah Haji yang dilakukan oleh kanak-kanak dan adakah ibubapa yang melakukan ibadah Haji bagi pihak kanak-kanak tersebut mendapat pahala?

Jawapan:
Dalam Islam, sebarang pensyariatan berkaitan dengan ibadah tidaklah ditaklifkan kepada golongan kanak-kanak. Meskipun begitu, jika kanak-kanak tersebut melakukan sesuatu ibadah, perkara tersebut tetap diterima di sisi Allah SWT. Justeru, pengajaran berkaitan kefahaman dalam sesuatu ibadah hendaklah diterapkan sejak dari kecil agar kanak-kanak tersebut terbiasa dengan amalan-amalan kebaikan yang dilakukannya dan menjadi sebati dalam diri dan jiwanya.

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum ibadah Haji yang dilaksanakan oleh kanak-kanak yang belum mencapai tahap mumayyiz adalah sah dan diberi ganjaran pahala ke atas dirinya. Namun begitu, ibadah Haji yang dilakukan ketika itu dikira sebagai Haji sunat, dan wajib ke atasnya untuk mengulangi ibadah Haji tersebut setelah dia mencapai umur baligh. Ini adalah berdasarkan hadith berikut:

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِذَا حَجَّ الصَّبِيُّ فَهِيَ لَهُ حَجَّةٌ حَتَّى يَعْقِلَ، وَإِذَا عَقَلَ فَعَلَيْهِ حَجَّةٌ أُخْرَى
“Apabila seorang kanak-kanak menunaikan Haji maka baginya Haji sampai dia berakal (baligh), maka apabila dia sudah berakal maka baginya Haji yang lain (mengulangi Haji).” [Riwayat al-Hakim (1769)]

Sehubungan dengan itu, bagi pihak wali atau ibu bapa yang melakukan ibadah Haji bagi mewakili seseorang kanak-kanak, maka perbuatan tersebut diberi ganjaran pahala sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW dalam hadis berikut:

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

رَفَعَتْ امْرَأَةٌ صَبِيًّا لَهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلِهَذَا حَجٌّ، قَالَ: نَعَمْ، وَلَكِ أَجْرٌ
Seseorang perempuan telah menunjuk anak lelakinya kepada Rasulullah SAW serta berkata: “Wahai Rasulullah, adakah bagi anak ini Haji?” Jawab Rasulullah SAW: “Ya, dan bagi kamu (ibu) pahala.” [Riwayat Tirmidzi (924)]

Kesimpulan

Kami berpandangan dibolehkan bagi seorang kanak-kanak untuk turut melaksanakan ibadah Haji dan Umrah, walaupun mereka (kanak-kanak) masih belum ditaklifkan untuk melaksanakan ibadah Haji dan Umrah. Namun begitu, jika mereka melaksanakan ibadah tersebut masih diterima dan dikira sah di sisi Allah SWT. Namun begitu, kanak-kanak tersebut perlu mengulanginya semula (ibadah Haji tersebut) kerana ibadah Haji yang dilakukan ketika usia kanak-kanak tidak menggugurkan kefarduan Haji ke atas dirinya semasa dia telah dewasa.

Begitu juga kepada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk melaksanakan ibadah Haji bersama-sama, mereka juga akan mendapat pahala sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Justeru, kesungguhan dan ketekunan dalam beribadah kepada Allah SWT perlulah ditingkatkan agar Haji yang dilaksanakan dikira sebagai Haji yang mabrur (diterima).

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media