Hukum Guna Ruangan Solat Untuk Demonstrasi Taekwondo


Soalan:
Semasa jamuan raya di surau kondominium saya, terdapat satu aktiviti demonstrasi Taekwondo yang dilakukan di ruang solat. Sepertimana yang kita tahu, ruang solat surau digunakan untuk beribadah kepada Allah SWT. Saya khuatiri perkara tersebut boleh mencemarkan kemuliaan surau sebagai tempat ibadah. Soalan saya, adakah perkara tersebut dibolehkan sebenarnya? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Allah SWT memuliakan masjid sebagai tempat untuk beribadah kepada-Nya. Allah SWT menyifatkan golongan yang layak memakmurkan masjid ialah golongan yang beriman kepada-Nya dan hari Akhirat. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah: 18)

Selain itu, masjid juga merupakan tempat yang dicintai oleh Allah SWT sepertimana Rasulullah SAW bersabda:

أَحَبّ البِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ البِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا
“Tempat yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah masjid-masjid-Nya, dan tempat yang paling dibenci oleh Allah SWT adalah pasar-pasar.” [Riwayat Muslim: (671)]

Sesungguhnya masjid sepatutnya dijadikan tempat untuk beribadah hanya kepada Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّـهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّـهِ أَحَدًا
“Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadah kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah.” (Surah al-Jinn: 18)

Disamping itu, firman Allah SWT juga:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadah yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Nur: 36)

Ibn Katsir dalam menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa, ia merupakan arahan daripada Allah SWT untuk memuliakan darjat sesebuah tempat ibadah, iaitu dengan menyucikannya daripada perkara yang keji dan melalaikan, juga daripada perbuatan dan perkataan yang tidak selayaknya di dalamnya. (Rujuk Tafsir Ibn Katsir, 6:62)

Ini termasuklah hal keduniaan seperti jual beli di dalam masjid juga dilarang. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi RA:

إِذَا رَأَيْتُم مَن يَبِيعُ أَوْ يُبْتَاعُ فِي المَسْجِدِ فَقُولُوا لَا أَرْبَحَ اللهُ تِجَارَتَكَ وَ إِذَا رَأَيْتُم مَن يَنْشُدُ ضَالّةً قُولُوا لَا رَدَّ اللهُ عَلَيْكَ ضَالَّتَكَ
Jika kalian melihat sesiapa yang berjual-beli di dalam masjid maka katakanlah: “Allah SWT tidak memberi keuntungan kepada perniagaan kamu.” Dan jika sekiranya kalian melihat sesiapa yang melaungkan laungan mencari barangan yang hilang di dalam masjid, maka katakanlah: “Allah SWT tidak akan memulangkan kembali barang yang hilang daripada kamu tersebut.” [Riwayat al-Tirmidzi: (1321)]

Dalam mensyarahkan hadith ini, Syeikh al-Mubarakfuri RA menukilkan kata-kata Imam al-Nawawi dalam kitabnya Tuhfah al-Ahwazi dengan berkata: “Hadith ini menunjukkan larangan daripada melaungkan suara untuk mencari barang yang hilang di dalam masjid, dan begitu juga perkara yang menyerupai maknanya daripada hal jual-beli, memberi pinjam dan akad yang lain-lain. Dan begitu juga, makruh hukumnya untuk meninggikan suara di dalam masjid.” (Rujuk Tuhfatul Ahwazi: 4:458)

Justeru itu kami berpandangan bahawa melakukan perkara keduniaan yang melalaikan dan meninggikan suara di dalam masjid atau surau sebagai satu perbuatan yang tidak menjaga adab dan mencemar kesuciannya. Selain itu, ia akan turut menganggu keselesaan dan ketenteraman masjid sebagai tempat untuk beribadah. Oleh itu, sepertimana yang dimaklumi aktiviti seperti demonstrasi Taekwondo ini melibatkan pergerakan yang aktif dan lasak serta tidak terlepas daripada meninggikan suara, maka ia termasuk dalam perbuatan yang mencemarkan kesucian dan ketenteraman masjid.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpandangan bahawa demonstrasi Taekwando atau perkara yang seumpamanya yang tidak melibatkan urusan beribadah kepada Allah SWT dan mencemarkan kehormatan masjid adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Sebaliknya, kami mencadangkan bahawa perkara tersebut dilakukan di tempat yang lebih sesuai bagi aktiviti tersebut seperti di dewan atau halaman masjid.

Adapun ruang dan dewan solat perlulah dikhususkan sebagai tempat untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT sahaja. Ini adalah kerana untuk menjaga kehormatan dan kesucian masjid dan surau sebagai syiar Islam adalah daripada ketaqwaan hati, seperti dalam firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.” (Surah al-Hajj: 32)

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariatnya dengan sebaiknya. InshaAllah. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media