Filem aksi seni bela diri campuran (MMA) pertama Malaysia yang berjudul 'Sangkar', tampil dengan trailer rasminya hari ini. Sempena pelancaran filem itu pada Selasa, poster rasmi filem yang bakal ditayangkan pada 29 Ogos itu turut dilancarkan. Filem tersebut merupakan kerjasama mega empat penerbit iaitu Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad berkata, gabungan pengalaman dan kepakaran kreatif yang ada pada setiap pihak, mampu memberi kelebihan dalam menghasilkan sebuah filem yang berkualiti tinggi dan tampil dengan rangka pemasaran yang meluas.
"Kami yakin dengan dua gabungan syarikat media Malaysia, Media Prima dan Astro bersama Infinitus Gold dan mm2 Entertainment mampu mencipta sejarah baru dalam industri perfileman tanah air.
"Dengan Strategi promosi telah dibuat sejak berbulan lalu dan kini kami rasa teruja kerana tiba masanya untuk melaksanakan secara menyeluruh dengan kempen utamanya adalah Sangkar Bukan Sekadar Pertarungan," katanya.
Trailer berdurasi 1:50 minit itu memaparkan aksi pertarungan MMA di antara Johan (Remy Ishak) dan Adam (Zul Ariffin) serta liku-liku kehidupan yang terpaksa diharungi mereka.
Selain Zul dan Remy, filem arahan Kabir Bhatia ini turut menampilkan barisan pelakon hebat lain tanah air seperti Mira Filzah, Adam Mika, Ray, Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy Teh dan Rashid Salleh yang juga merupakan Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA).
Filem ini juga menyaksikan kemunculan beberapa atlet profesional MMA sebenar seperti bekas petarung UFC James 'Sledgehammer' Mcsweeney, serta atlet tempatan dari ONE Championship iaitu Saiful Merican, Peter Davis dan Jihin Radzuan.
Runut bunyi rasmi lagu tema yang mengiringi filem ini berjudul 'Fighter' dan dinyanyikan oleh rapper popular, Aman RA. Nantikan filem Sangkar yang akan menemui para penonton melalui pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 29 Ogos 2019. Pengguna laman sosial juga boleh menggunakan tanda pagar #SangkarMovie bagi berkongsi ulasan tentang filem ini.
+ Baca respon pembaca di Oh! Media.
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media