Mesti ramai diantara kita pernah melalui fasa ini, di mana kita bersemangat untuk melakukan apa sahaja demi memikat hati seseorang yang kita minat dan ini semata-mata untuk menarik perhatian mereka.
Di sini kami kongsikan satu kisah yang diceritakan oleh seorang pemuda bernama Ahmad Zikri Mohamad Nasir, 20 yang telah bekerja keras selama lebih tujuh bulan untuk menurunkan berat badannya.
Dan semua ini dilakukan untuk mencapai misi rahsianya, iaitu meluahkan perasaan kepada seorang gadis yang juga rakan baiknya selain daripada untuk menjadi lebih 'fit' dan sihat.
Memang menjadi kebiasaan kepada mereka yang mempunyai badan yang lebih besar untuk menyimpan perasaan terhadap orang yang mereka suka. Mungkin kerana tidak mempunyai keyakinan untuk berterus terang kerana keadaan dirinya yang tidak seperti orang lain.
Dulu malu nak confess, bila berani kena reject.
Kembali kepada kisah Zikri, dia telah menjalankan rutin diet dan senaman selepas hari raya Aidilfitri tahun lalu dan telah berjaya menurunkan berat badan dari 120 kilogram kepada hanya 63 kilogram.“Dulu aku malu nak confess dekat crush. Tapi bila dah kurus aku dah berani sikit nak confess,” katanya di Twitter sehingga menarik 10,000 kicau (retweet).
Bagaimanapun, dirinya hampa apabila luahan kepada gadis itu tidak mendapat balasan yang diharapkan. Zikri turut berkongsi paparan skrin mesej yang dan jawapan gadis berkenaan.
Terima dengan hati terbuka
Biarpun menerima jawapan menghampakan, penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Johor itu mengakui menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka.“Saya kenal dia di UTHM sekitar setahun lalu. Walaupun jawapan tak seperti diharapkan, kami tetap berkawan. Kecewa tu mesti ada. Tapi hati orang kita tak boleh paksa. Kena terimalah lumrah hidup.
“Saya cuma nak cakap, terima kasih jadi salah satu inspirasi saya untuk kurus. Mungkin hari ni dia tolak saya, siapa tahu nanti dia terima.
“Tapi kita kena teruskan hidup, baru sekali kena tolak. Saya masih ada harapan untuk dia, tapi kalau tak ada jodoh, saya move on,” katanya dipetik portal mStar.
Kurus kerana kawal pemakanan
Mengulas mengenai transformasi dari seorang gemuk, kepada lelaki yang lebih fit, Zikri berkata, dia percaya bahawa 80 peratus kejayaannya berhasil dari diet yang diamalkan berbanding hanya 20 peratus senaman.“Pada saya, 80 peratus terletak pada diet, lagi 20 peratus kita bersenam. Saya memang elakkan makan nasi, mee dan roti. Saya juga kurangkan pengambilan benda manis.
“Saya amalkan senaman seperti joging, seminggu tiga kali. Sebenarnya agak sukar sebab dah gemuk dari kecil, tapi dengan keazaman tinggi akhirnya saya berjaya capai berat sekarang,” kata Zikri.
Ingin bantu mereka yang obesiti
Tujuan utama Zikri berkongsi cerita ini, bukanlah semata kerana kisah dirinya ditolak seorang gadis, tetapi lebih kepada memberi tahu kepada mereka yang mempunyai masalah yang sama sepertinya untuk lakukan perubahan.“Saya nak bantu orang di luar sana dapatkan badan yang sihat. Bila kita gemuk, ramai orang tak suka.
“Nak buat aktiviti pun lambat, ada masalah bau badan dan sebagainya. Saya pun memang gemuk dari usia muda lagi.
“Masalah kolestrol pun saya ada tapi sekarang dah baik. Saya pun tak sangka posting saya viral, tapi saya seronok nak bantu individu obesiti di luar sana untuk kuruskan badan mereka,” katanya lagi.
Oh! Media: Kesimpulannya tiada perkara yang dilihat mustahil jika kita betul-betul menginginkannya. Untuk mimin pula, nampaknya kisah Zikri ini lebih kurang, sebab mimin baru sahaja ingin mulakan diet, maklumlah baru lepas rayakan. Jadi, kita tunggu hasilnya tahun depan ok. Kah!
Sumber: Oh! Media