Suasana pilu menyelubungi lokasi dua beradik berusia 8 dan 10 tahun ditemui mati lemas di dalam parit di Kampung Kuala Bagan Tiang, Tanjung Piandang dekat Parit Buntar malam tadi.
Mangsa ialah Nur Ayuni Najatul Abdul Az Zahir, 8, dan Nur Anisa Najwa Mohd Zaki, 10, kedua-duanya beradik tiri dari Sungai Megat Aris, Bagan Tiang, Tanjung Piandang. Kejadian itu disedari penduduk kampung yang melihat mayat seorang daripada mangsa terapung pada jam 7.30 malam.
“Tak sangka itu anak saya.”
Demikian luahan pilu, Mohd Zaki Abdullah, 45, bapa kepada dua kanak-kanak perempuan yang lemas di Kampung Parit Bagan Tiang, Tanjung Piandang di sini, petang tadi.
Beliau berkata, sebaik selesai menjalani rawatan perubatan Islam di Parit Buntar, kira-kira jam 7.30 malam, beliau mendapat tahu mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak terapung di dalam parit berhampiran rumahnya.
“Ketika berada di kawasan kejadian saya melihat ramai orang kampung berkumpul dan tertanya-tanya anak siapa yang lemas namun tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk. Sebaik pulang ke rumah, saya dapati Kak Chik (Nor Anisa Najwa, 10) dan Ayuni (Nor Ayuni Najatul, 8) yang juga anak keempat dan kelima tiada di rumah,” katanya.
Beliau mulai mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa kedua-dua anaknya itu dan segera ke lokasi untuk mendapatkan kepastian.
Beliau berkata, sebaik melihat dan mendapati dua mayat kanak-kanak itu adalah anaknya, beliau terduduk dan hampir pitam. Katanya, berdasarkan penemuan dua pasang selipar ditinggalkan berhampiran parit di lokasi kejadian, penduduk bekerjasama membuat pencarian di dalam parit berhampiran dan menemui Nor Ayuni Najatul kira-kira jam 7.30 malam sebelum berjaya menemui seorang lagi anaknya, Nor Anisa Najwa, 15 minit kemudian.
Mohd Zaki yang sedih dan enggan gambarnya dirakam ternyata masih tergamam dan kaku dengan kejadian yang meragut nyawa dua anaknya sekali gus dan enggan mengulas lanjut kejadian itu. Katanya, jenazah dua anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Bagan Tiang, pagi ini.
Sumber: New Malaysian Post dan Berita Harian
Sumber: Oh! Media