Takrif Dabbatul Ardh
Al-Dabbah (الدابة) menurut bahasa adalah setiap yang berjalan di atas muka bumi. (Lihat Mukhtar al-Sihah, 101/1)
Manakala, menurut istilah pula, al-Dabbah adalah sejenis binatang yang akan keluar di akhir zaman (apabila manusia dalam keadaan yang jauh daripada agama) dan keluarnya al-Dabbah ini merupakan antara tanda-tanda besar hari Kiamat sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith yang banyak. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 610/1)
Dabbatul Ardh dimaksudkan dengan segala binatang yang melata di muka bumi sama ada berkaki dua, empat atau merayap. Imam al-Tantawi, bekas Syeikh al-Azhar dalam kitab tafsirnya, al-Wasit fi Tafsir al-Quran al-Karim, memberikan pengertian Dabbah seperti berikut: “Dabbah ialah kata nama untuk setiap haiwan yang memiliki roh, tidak kira jantan atau betina, berakal atau tidak berakal.”
Justeru, tidak pelik kalau dikatakan juga, Dabbatul Ardh dengan makna anai-anai. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ ۖ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ
“Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara yang ghaib, nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.” [Surah Saba’ (14)]
Tetapi berdasarkan nas tanda-tanda kiamat, sudah tentu makna Dabbatul Ardh berlainan dengan apa yang dimaksudkan. Ia termasuk tanda-tanda besar kiamat.
Nas Ilahi dan Nabawi Berkenaan Dabbatul Ardh
Terdapat banyak nas tentang kemunculan Dabbatul Ardh pada akhir zaman, antaranya:
Allah SWT berfirman:
وَإِذَا وَقَعَ الْقَوْلُ عَلَيْهِمْ أَخْرَجْنَا لَهُمْ دَابَّةً مِّنَ الْأَرْضِ تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ النَّاسَ كَانُوا بِآيَاتِنَا لَا يُوقِنُونَ
“Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.” [Surah al-Naml (82)]
Imam al-Tabari dalam menjelaskan ayat di atas menyebut: Kebanyakan ulama’ berkata: Keluarnya Dabbah yang disebut ini apabila manusia sudah tidak menyeru yang makruf dan tidak mencegah yang mungkar. Antara yang berpendapat sedemikian ialah Ibn Umar R.Anhuma sepertimana diriwayatkan berkata: “Ianya berlaku apabila tidak ada lagi yang menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.” Begitu juga daripada ‘Atiyyah, katanya: “Apabila manusia sudah tidak mengenal yang makruf (kebaikan) dan sudah tidak mengingkari yang mungkar (kejahatan).” (Lihat Jami' al-Bayan 'an Ta'wil ay al-Qur'an, 10/14)
Imam Ibn Kathir berkata: “Binatang ini akan keluar pada akhir zaman semasa manusia telah rosak dan meninggalkan perintah-perintah Allah SWT serta menukar agama yang haq (dengan mengikut kebatilan). Maka Allah SWT akan mengeluarkan kepada mereka binatang dari bumi. Dikatakan ia dari Mekah. Dan dikatakan juga dari selainnya. Maka manusia mula berbicara berkenaan binatang tersebut.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/210)
Imam al-Qurtubi menukilkan kata-kata Ibn Mas’ud R.A yang menyebut: “وَقَعَ الْقَوْلُ” (berlakunya hukuman) itu dengan matinya para ulama’, hilangnya ilmu dan terangkatnya al-Quran.” Kata beliau lagi: “Perbanyakkanlah membaca al-Quran sebelum ia terangkat.” Orang ramai bertanya: “Mushaf al-Quran ini terangkat (boleh difahami), bagaimana al-Quran yang tersimpan di dada orang yang menghafaz?” Jawab Abdullah R.A: “Malamnya dia masih ingat, pagi esoknya hilang dari dadanya dan dia lupa akan “لا اله إلا الله”. Dan mereka mengambil kata-kata jahiliah dan syair-syairnya. Maka ketika itulah jatuh ketetapan hukuman ke atas mereka.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/155)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Pada akhir zaman, ketika manusia sudah rosak, tidak menjalankan perintah-perintah Allah, menggantikan agama yang haq, mereka berhak mendapat azab yang dijanjikan iaitu menjelang datangnya Kiamat. Allah SWT mengeluarkan binatang melata dari bumi untuk manusia, yang berbicara kepada mereka bahawa kebanyakan manusia tidak meyakini ayat-ayat Allah. Boleh jadi binatang itu adalah manusia sebagaimana pendapat sebahagian mufassir muta’akhirin kerana disifatkan dengan "bercakap" dan juga kerana semua yang melata di atas bumi adalah "دَابَّة" (binatang yang melata). Binatang tersebut terdapat dalam athar-athar (riwayat-riwayat) dinamakan Jassasah. Mengenai hal itu, terdapat beberapa hadith ahad.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 20/34)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan ashab al-Sunan, daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari, katanya: Nabi SAW muncul di hadapan kami tatkala kami sedang berbincang-bincang. Lalu Baginda SAW bertanya: “Apakah yang kamu semua perbincangkan?” Kami menjawab: “Kami berbincang berkaitan Kiamat.” Lantas Baginda SAW bersabda:
إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ. فَذَكَرَ الدُّخَانَ وَالدَّجَّالَ وَالدَّابَّةَ وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ -صلى الله عليه وسلم- وَيَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَثَلاَثَةَ خُسُوفٍ خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ
“Hari Kiamat tidak akan terjadi sehinggalah kamu melihat sepuluh tanda: Kemudian disebut al-Dukhan (asap), Dajjal, al-Dabbah, keluar matahari daripada barat, turunnya Isa ibn Maryam, munculnya Yakjuj dan Makjuj, terdapat tiga kabus tebal; satunya di timur, keduanya di barat dan satunya di semenanjung tanah Arab dan akhir sekali keluarnya api dari negeri Yaman sehingga menghimpunkan manusia ke tempat Mahsyar mereka.” [Riwayat Muslim (7467), al-Tirmizi (2183), Ibn Majah (4055) dan al-Daraqutni (182)]
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
ثَلَاثٌ إِذَا خَرَجْنَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ، أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ
“Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga Dabbatul Ardh (al-Dabbah yang melata di bumi).” [Riwayat Muslim (158)]
Manakala dalam hadis lain yang turut diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، أَوِ الدُّخَانَ، أَوِ الدَّجَّالَ، أَوِ الدَّابَّةَ، أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ
“Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara; terbitnya matahari dari barat, asap, Dajjal, al-Dabbah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (Kiamat).” [Riwayat Muslim (2947)]
Abu Zur’ah pula meriwayatkan dengan katanya: Ada tiga puak orang Islam yang bertemu Marwan bin al-Hakam di Madinah lalu mereka mendengar beliau sedang membicarakan berkenaan tanda akhir Kiamat dengan menyebut bahawa yang pertama kali keluar ialah Dajjal. Lantas Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma berkata, Marwan tidak mengatakan sesuatu. Sesungguhnya aku menghafal satu hadis daripada Rasulullah SAW di mana aku masih tidak lupa. Aku mendengar Baginda SAW bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ خُرُوجًا طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا ، وَخُرُوجُ الدَّابَّةِ عَلَى النَّاسِ ضُحًى ، وَأَيُّهُمَا مَا كَانَتْ قَبْلَ صَاحِبَتِهَا ، فَالْأُخْرَى عَلَى إِثْرِهَا قَرِيبًا
“Sesungguhnya tanda-tanda Kiamat yang pertama kali keluar ialah terbitnya matahari dari Barat dan keluarnya binatang (Dabbah) kepada manusia pada waktu Dhuha. Antara keduanya tidak diketahui mana yang terkemudian keluarnya tetapi keluarnya secara berturutan. Yang satu mengikuti yang satunya dalam jangka waktu yang singkat.” [Riwayat Muslim (5238) dan Ahmad (6881)]
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Hikmah yang demikian itu bahawa keluarnya matahari dari sebelah barat sebagai menutup pintu taubat. Kemudian, datang Dabbatul Ardh yang membezakan antara orang yang beriman dan orang kafir sebagai penyempurnaan untuk maksud sebenar pintu taubat telah tertutup.” (Lihat Asyrat al-Sa’ad: al-‘Alamat al-Kubra dalam Mausu’ah al-Akhirah oleh Mahir Ahmad al-Sufi, 2/172)
Dr 'Umar Sulaiman al-Asyqar berkata: “Binatang yang melata ini adalah salah satu tanda kekuasaan Allah yang akan keluar di akhir zaman, ketika kejahatan bermaharajalela dan kerosakan meluas, manakala kebaikan sangat sedikit. Binatang melata ini adalah yang disebutkan oleh Allah dalam firman-Nya (pada ayat 82, Surah al-Naml).”
Tidak ragu lagi bahawa ini bukanlah binatang melata yang biasa. Ia dapat berbicara dan bercakap-cakap dengan manusia. Kami telah sebutkan beberapa hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa antara tanda-tanda kiamat besar adalah keluarnya binatang melata.
Imam Ahmad dalam Musnad-nya, al-Bukhari dalam al-Kabir, al-Baghawi dalam hadis 'Ali ibn Ja'd dan Abu Nu'aim dalam Akhbar Asbahan meriwayatkan dengan sanad marfu' yang sahih, daripada Abu Umamah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Binatang melata akan keluar. Binatang tersebut akan meninggalkan tanda (bekas) di hidung manusia, kemudian manusia yang terkena itu akan bertambah banyak sehingga ketika seorang lelaki membeli unta dan ditanya: “Dari siapa kamu membeli unta ini?” Dia akan menjawab: “Dari salah seorang yang bertanda di hidungnya.” (Lihat al-Yaum al-Akhir: al-Qiyamah al-Kubra oleh Dr 'Umar Sulaiman al-Asyqar, hlm. 240)
Tempat Keluar Dabbatul Ardh
Berdasarkan ayat 82 Surah al-Naml, tempat keluar yang disebut adalah dari dalam bumi, bukan dari langit dan lain-lain. Persoalan yang timbul adalah, di bahagian bumi manakah ia akan dikeluarkan?
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Buraidah R.A, katanya: “Aku pergi bersama Rasulullah SAW ke suatu kawasan gurun berhampiran dengan Mekah. Ianya adalah kawasan tanah berangin yang sekitarnya berpasir. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
تَخْرُجُ الدَّابَّةُ مِنْ هَذَا الْمَوْضِعِ ، فَإِذَا فِتْرٌ فِي شِبْرٍ
“Al-Dabbah keluar dari tempat ini. Maka adalah (luas tempat rekahan keluarnya) selebar sejengkal dan sepanjang sejengkal.” [Riwayat Ibn Majah (4067) dan Ahmad (23411)]
Berkenaan dari arah mana, para ulama’ telah khilaf. Antaranya:
1. Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A, katanya: Rasulullah SAW menyebut tentang al-Dabbah, lalu Huzaifah bertanya: “Ya Rasulullah, dari mana ia akan keluar?” Sabda Rasulullah SAW:
مِنْ أَعْظَمِ الْمَسَاجِدِ حُرْمَةً عَلَى اللَّهِ
“Dari masjid teragung yang paling dimuliakan Allah (Masjid al-Haram).” [Riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (1635) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8490)]
Imam al-Tabari dalam kitab tafsirnya berkata: “Dikatakan bahawa bumi tempat keluarnya al-Dabbah ialah Mekah.” (Lihat Jami' al-Bayan 'an Ta'wil ay al-Qur'an, 10/14)
Ibn Kathir juga menyebut: “Allah SWT mengeluarkan bagi mereka Dabbah dari bumi, dikatakan dari Mekah dan dikatakan dari tempat lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/210)
Dikatakan juga tempat keluarnya adalah di Bukit Safa. Daripada Atha’ katanya: Aku melihat Abdullah bin Amr R.A dan adalah kedudukannya berhampiran dengan Bukit Safa. Lalu dia mengangkat kakinya dalam keadaan berdiri lalu berkata: “Kalau engkau mahu, aku tidak meletakkannya (kakinya) sehingga aku meletakkannya di atas tempat keluarnya al-Dabbah.” (Lihat Jami' al-Bayan 'an Ta'wil ay al-Qur'an, 10/15)
Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya: “Dikeluarkan Dabbah dari rekahan di Bukit Safa.” (Lihat Jami' al-Bayan, 10/15)
Imam al-Syaukani telah menukilkan pelbagai pendapat ulama’ berkenaan tempat keluar Dabbatul Ardh. Beliau menyebut: “Dan mereka berselisih pendapat dari tempat manakah keluarnya Dabbatul Ardh? Maka dikatakan dari Bukit Safa di Mekah. Dikatakan juga dari Bukit Abu Qubais (juga di Mekah). Dikatakan ia keluar di tiga tempat; tempat keluarnya di sebahagian wadi (lembah) sehingga diperangi akannya oleh manusia lalu banyak darah keluar, kemudian dia bersembunyi dan ia keluar di Qura, kemudian ia keluar dari Masjid terbesar dan paling mulia (Masjid al-Haram). Dikatakan ia keluar antara Rukun dan Maqam (di Mekah). Dikatakan ia keluar di Tihamah. Dikatakan ia keluar dari Masjid al-Kufah dari arah Far al-Tannur. Dikatakan ia keluar di sebahagian bumi Taif. Dikatakan ia keluar dari batu di Syi’bi Ajyad. Dikatakan ia keluar dari rekahan pada Kaabah.” (Lihat Fath al-Qadir, 4/151)
2. Mengikut Ibn Abbas R.Anhuma bahawa ia keluar dari sebahagian lembah Tihamah.
3. Mengikut Riwayat Abu Hurairah, Ibn Amr, Ibn Umar dan Aisyah R.Anhum, ia keluar di Ajyad yang terletak di Mekah.
Sebagai kesimpulan, kebanyakan pendapat ulama menyebut bahawa Dabbatul Ardh akan muncul di Mekah. Ini dikuatkan dengan hadis yang terdapat dalam Sunan Ibn Majah serta qaul-qaul sahabat yang menyebut keluarnya Dabbah di Bukit Safa di Mekah.
Adakah Bersama Dabbatul Ardh, Tongkat Nabi Musa AS dan Cincin Nabi Sulaiman AS?
Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan hadis daripada Abi Hurairah R.A, daripada Nabi SAW bersabda:
تَخْرُجُ الدَّابَّةُ وَمَعَهَا عَصَا مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام وَخَاتَمُ سُلَيْمَانَ عَلَيْهِ السَّلَام فَتَخْطِمُ الْكَافِرَ قَالَ عَفَّانُ أَنْفَ الْكَافِرِ بِالْخَاتَمِ وَتَجْلُو وَجْهَ الْمُؤْمِنِ بِالْعَصَا حَتَّى إِنَّ أَهْلَ الْخِوَانِ لَيَجْتَمِعُونَ عَلَى خِوَانِهِمْ فَيَقُولُ هَذَا يَا مُؤْمِنُ وَيَقُولُ هَذَا يَا كَافِرُ
“Dabbatul Ardh akan keluar dan bersamanya tongkat Musa AS dan cincin Sulaiman AS. Ia akan menekap kepada orang kafir. Kata Affan[1], pada hidung orang kafir dengan cincinnya, dan jelaslah keceriaan wajah orang beriman (dan) dengan tongkatnya, sehingga ahli khiwan (yang sedang makan) berhimpun pada hidangan masing-masing. Salah seorang berkata: “Hai yang beriman” dan berkata: “Hai yang kafir.” [Riwayat Ahmad (7937), Ibn Majah (4066) dan al-Tirmizi (3187). Beliau berkata hadis hasan]
Bilakah Dabbatul Ardh Akan Muncul?
Kami kemukakan di sini beberapa pendapat ulama dalam menyebut susunan kronologi tanda-tanda kiamat besar yang akan berlaku.
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut susunan tanda-tanda Kiamat Besar seperti berikut: “Keluarnya Dajjal – Turunnya Nabi Isa AS – Terbit matahari dari arah barat – Keluar Dabbatul Ardh pada hari terbitnya matahari dari barat.”
Imam al-Suyuti pula dalam kitabnya al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, menukilkan satu pendapat berkenaan susunan tanda-tanda Kiamat Besar: Daripada Wahab bin Munabbih, katanya: “Tanda pertama ialah al-Rum (peperangan dengan Rom), kemudian al-Dajjal, ketiga Yakjuj wa Makjuj, keempat Nabi Isa AS, kelima al-Dukhan dan keenam al-Dabbah.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 6/383)
Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi dalam kitab al-Tazkirah fi Ahwal al-Dar al-Akhirah menyebut susunan seperti berikut:
- Turunnya Nabi Isa AS
- Muncul Imam Mahdi AS
- Muncul Dajjal
- Keluarnya Yakjuj dan Makjuj
- Al-Dukhan
- Dabbatul Ardh
- Api yang menghalau manusia
- Terbit matahari dari Barat
Berkenaan waktu terbit Dabbatul Ardh pula, disebut di dalam hadis bahawa Dabbatul Ardh akan keluar pada waktu pagi. Rasulullah SAW bersabda:
وَخُرُوجُ الدَّابَّةِ عَلَى النَّاسِ ضُحًى
“Dan keluarnya binatang (Dabbah) kepada manusia pada waktu Dhuha (pagi).” [Riwayat Muslim (5238) dan Ahmad (6881)]
Ciri-Ciri dan Rupa Bentuk Dabbatul Ardh
Berdasarkan kepada himpunan nas, kami nyatakan di sini beberapa ciri Dabbatul Ardh. Antaranya:
- Ia merupakan haiwan yang aneh. Tidak seperti haiwan yang biasa.
- Berbulu
- Berkaki empat dan berkuku
- Tidak berekor
- Bertanduk
- Tinggi dan besar
- Ia boleh berkata-kata dan memahami bahasa manusia.
- Ia akan berkata kepada orang yang tidak beriman bahawa manusia telah tidak lagi meyakini ayat-ayat Allah seperti terakam dalam surah al-Naml ayat 82.
Antara sifat yang bukan termasuk Dabbatul Ardh ialah:
- Ia bukan keturunan manusia.
- Ia bukan haiwan yang membiak. Tetapi satu haiwan sahaja.
- Ia bukan keturunan haiwan yang sedia ada di muka bumi, tetapi dikeluarkan oleh Allah seperti firman-Nya “أَخْرَجْنَا”.
- Ia bukan makhluk asing yang datang dari langit, sebaliknya ia datang dari bumi seperti firman-Nya “مِّنَ الْأَرْضِ”.
Kami menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat Syeikh Abd al-Qadir al-Jailani: “(Dabbah) yang besar (dari bumi) untuk menjadi sebagai alamat berlakunya kiamat, dalil atas sempurnanya kekuasaan kami atas menghidupkan yang mati dari tulang yang hancur. Tingginya tujuh puluh hasta. Ia memiliki kaki dan berbulu halus berwarna kuning seperti bulu al-Farakh dan mempunyai dua sayap berbulu. Dan ada yang mengatakannya sebagai al-Jassasah, tidak pergi kalau dihalau dan tidak berjumpa jika dicari.” (Lihat Tafsir al-Jailani, 4/149)
Hakikat Dabbatul Ardh
Para ulama’ berselisih pendapat berkenaan dengannya. Antaranya:
Pertama: Dabbah itu adalah fasil (anak) unta Nabi Saleh AS dan dikatakan ini qaul yang paling sahih. Wallahu a’lam. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/235)
Kedua: Pendapat ini dikemukakan oleh Abdullah ibn Umar R.Anhuma yang menyebut, ia adalah al-Jassasah. Ia adalah makhluk aneh yang disebut oleh Tamim al-Dari R.A dalam satu hadis panjang tentang Dajjal. (Lihat Sahih Muslim, hadis nombor 2942)
Ketiga: Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Adalah Dabbah itu seekor ular yang besar yang berlingkar di atas tembok Kaabah yang menjalar dari atas ketika kaum Quraisy hendak membina Kaabah (yang runtuh setelah banjir besar). (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/235)
Keempat: Bahawa binatang tersebut adalah nama sejenis binatang melata, bukan binatang tertentu yang memiliki keajaiban dan keanehan. Mungkin yang dimaksudkan adalah kuman-kuman atau bakteria yang membahayakan, yang merosakkan tubuh dan kesihatan dan melukakan serta membunuh orang yang dijangkitinya. Hal ini seolah-olah merupakan kalimat-kalimat nasihat bagi manusia yang mahu memikirkan dan merenungi, lantas mereka mahu kembali kepada Allah dan agama-Nya. Dan lisan al-hal (bahasa yang berupa keadaan) lebih fasih daripada lisan al-maqal (bahasa yang diucapkan) kerana di antara makna taklim (berbicara) ialah tajrih (melukai). Ini adalah pendapat Abu ‘Ubayyah dalam ta’liqnya terhadap kitab al-Nihayah fi al-Fitan (1/190-191) oleh Ibn Kathir. (Lihat juga Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf bin Abdullah al-Wabil, hlm. 328)
Kelima: Sebahagian mufassirin pada zaman Imam Qurtubi berkata: Yang paling hampir benarnya, Dabbah ini adalah manusia yang berkata-kata yang berdebat dengan ahli bid’ah dan kufur lantas mengalahkan mereka. Maka binasalah mereka atas hujah yang jelas dan hiduplah mereka yang hidup selamat atas hujah yang jelas.
Tarjih: Dalam mentarjihkan pendapat, kami nukilkan di sini kenyataan Imam al-Qurtubi yang menyebut: Jika demikianlah keadaannya (Dabbah itu manusia), maka Dabbah ini bukanlah alamat khusus yang luar biasa, dan bukan pula termasuk dalam salah satu dari sepuluh alamat kiamat yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW, kerana kewujudan ahli debat terhadap ahli bid’ah begitu ramai sekali. Maka tidak adalah alamat khusus bagi kiamat, jadi tidak perlulah disebut dalam sepuluh alamat tersebut. Jika demikian, lebih adil jika dinamakan manusia yang mulia dan berilmu yang berdebat atas ahli dunia dengan nama insan atau alim atau imam daripada dinamakan Dabbah (haiwan melata). Qaul ini terkeluar daripada adat fasaha (ahli sastera) dan terkeluar dari memuliakan ulama’ dan ianya bukannya kebiasaan orang yang berakal. Maka lebih utama ialah apa yang dikatakan oleh ahli tafsir (yang berada di jalan yang benar). Dan Allah SWT lebih mengetahui hakikat semua urusan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 16/212)
Manakala pendapat yang menyebut bahawa ia adalah sejenis kuman-kuman atau bakteria juga adalah jauh dari kebenaran. Ini antaranya disebabkan:
- Kuman atau bakteria telah ada sejak dahulu kala. Demikian juga penyakit-penyakit yang merosakkan tubuh badan manusia, tanam-tanaman dan ternakan mereka sedangkan binatang yang merupakan tanda datangnya kiamat itu belum muncul.
- Bakteria itu biasanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar sedangkan binatang sebagai petanda datangnya hari kiamat tersebut, tidak seorang pun yang mengatakan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bahkan Nabi SAW menyebut bahawa binatang tersebut dapat dilihat oleh manusia (dengan mata kasar) dan binatang tersebut membawa tongkat Nabi Musa AS dan cincin Nabi Sulaiman AS.
- Binatang tersebut memberi tanda kafir dan iman di dahi manusia sehingga dengan demikian nampak jelas orang yang beriman dan orang yang kafir. Sedangkan bakteria tidak memberi tanda yang demikian sama sekali. (Lihat Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf bin Abdullah al-Wabil, hlm. 330)
Oleh itu, maka yang wajib diimani ialah bahawa Allah SWT akan mengeluarkan binatang dari dalam bumi pada akhir zaman di mana ia dapat berbicara kepada manusia. Maka perkataan binatang tersebut merupakan petanda bagi mereka, yang menunjukkan bahawa mereka telah berhak mendapat ancaman (siksa) kerana mendustakan ayat-ayat Allah. Apabila binatang itu telah keluar, maka manusia pun mengerti bahawa itu merupakan kejadian luar biasa yang memberitahu telah dekatnya hari kiamat, sedangkan mereka sebelumnya tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan tidak membenarkan adanya hari yang dijanjikan (hari kiamat). (Lihat Asyrat al-Sa’ah, hlm. 332)
Percakapan Dabbatul Ardh dengan Manusia
Apabila Dabbatul Ardh keluar dari bumi, ia akan berkata-kata kepada manusia sepertimana dirakamkan dalam surah al-Naml ayat 82:
تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ النَّاسَ كَانُوا بِآيَاتِنَا لَا يُوقِنُونَ
“…yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.” [Surah al-Naml (82)]
Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat di atas menyebut: Berkata Ibn Abbas, al-Hasan dan Qatadah serta diriwayatkan daripada Ali R.A: “Berkata-kata kepada mereka dengan kata-kata, maksudnya: Berkhutbah kepada mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 10/430)
Imam al-Qurtubi menukilkan bahawa al-Suddi berkata: “Berkata-kata kepada mereka tentang kebatilan agama-agama selain agama Islam.” Dan dikatakan: “Berkata-kata kepada mereka dengan lidah yang lancar yang boleh didengari orang dari dekat dan jauh (Sesungguhnya manusia telah tidak meyakini ayat-ayat Kami) iaitu tentang keluarnya Dabbah, kerana keluarnya ia adalah salah satu dari tanda-tanda.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/237)
Dalam hal ini, timbul persoalan, apakah mungkin binatang boleh bercakap-cakap sehingga difahami oleh manusia? Dengan melihat kepada dalil-dalil al-Quran dan Hadis, maka jelas bahawa segala apa jua di alam ini boleh berkata-kata apabila dikehendaki oleh Allah SWT.
Antara dalilnya, bumi yang boleh berkata-kata sepertimana firman Allah SWT:
إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا ﴿١﴾ وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا ﴿٢﴾ وَقَالَ الْإِنسَانُ مَا لَهَا ﴿٣﴾ يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا ﴿٤﴾ بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَىٰ لَهَا
“Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).” [Surah al-Zalzalah (1-5)]
Begitu juga percakapan burung Hud-Hud dengan Nabi Sulaiman AS sepertimana firman Allah SWT:
فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِن سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ
Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.” [Surah al-Naml (22)]
Manakala dalam sebuah hadis, terdapat kisah batu yang memberi salam kepada Rasulullah SAW. Daripada Jabir bin Samurah R.A. Rasulullah SAW bersabda:
إِنِّي لَأَعْرِفُ حَجَرًا بِمَكَّةَ كَانَ يُسَلِّمُ عَلَيَّ
“Sesungguhnya aku mengetahui ada sebuah batu di kota Mekah yang memberi salam ke atas aku.” [Riwayat Muslim (2277)]
Dalam hadis yang lain, terdapat kisah di mana daging yang bercakap kepada Rasulullah SAW, memberitahu bahawa ia telah diracun. (Lihat Sunan Abi Daud, hadis nombor 4512) Begitu juga kisah pohon kurma yang menangis apabila mimbar khutbah Nabi SAW diubah ke tempat lain. (Lihat Sahih al-Bukhari, hadis nombor 3584)
Oleh itu, berdasarkan antara dalil-dalil yang disebutkan, jelas bahawa percakapan Dabbatul Ardh bukanlah suatu yang pelik dan bukan juga perkara yang mustahil untuk berlaku.
Berapa Lama Kemunculan Dabbatul Ardh?
Dalam membincangkan isu ini, kita tidak mendapati sebarang nas yang menetapkan tempoh kewujudan Dabbatul Ardh di muka bumi selepas ia muncul. Syeikh Mahir Ahmad al-Sufi berkata: “Adapun tempoh ia berada di bumi, aku tidak dapati dalam mana-mana riwayat yang sahih mahupun daif mengikut tempoh yang tertentu.” (Lihat Asyrat al-Sa’ad: al-‘Alamat al-Kubra dalam Mausu’ah al-Akhirah oleh Mahir Ahmad al-Sufi, 2/176)
Kesimpulan
Sesungguhnya Dabbatul Ardh salah satu daripada tanda kiamat besar yang akan berlaku sebelum dunia kiamat. Sebahagian ulama’ menganggap kemunculan Dabbatul Ardh dengan izin Allah adalah salah satu daripada antara tanda-tanda akhir yang besar yang berlaku. Berdasarkan perbincangan di atas, kedatangan dan kemunculan Dabbatul Ardh memperihalkan dan berkata kepada manusia dengan pemisahan mereka yang beriman dan kufur. Justeru, sewajarnya kita imani dengan penuh keyakinan kepada Allah berkenaan dengan hari Akhirat dan tanda-tanda kiamat.
Syeikh Ahmad Syakir berkata: “Ayat tersebut adalah jelas dengan bahasa arab bahawa perkataan Dabbah dengan makna yang makruf lagi terang. Tidak perlu kepada sebarang takwilan. Banyak hadis yang datang dalam kitab Sahih dan lainnya dengan keluarnya binatang ini atau Dabbah. Ia akan muncul pada akhir zaman.” (Lihat Syarah Musnad Ahmad, 15/82)
Kita sebagai umat yang terakhir dibangkit oleh Allah di dunia ini umpama waktu solat Asar hingga terbenamnya matahari. Itulah jarak kehampiran antara kita dengan Kiamat. Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata: Aku dengar Rasulullah SAW di atas minbar, dalam keadaan berdiri menyampaikan khutbah dengan sabdanya:
إِنَّمَا بَقَاؤُكُمْ فِيمَا سَلَفَ قَبْلَكُمْ مِنْ الْأُمَمِ كَمَا بَيْنَ صَلَاةِ الْعَصْرِ إِلَى غُرُوبِ الشَّمْسِ
“Sesungguhnya kekalnya kamu berbanding umat sebelum kamu sama seperti solat Asar hingga matahari terbenam.” [Riwayat al-Bukhari (7467)]
Kami berdoa kepada Allah, semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bentuk fitnah dan matikan kita dalam husnul khatimah. Amin.
اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ
“Ya Allah sudahilah (matikanlah) bagi kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan.”
Nota Hujung:
[1] Iaitu Abu Uthman Affan bin Muslim bin Abdullah al-Saffar al-Basri. Beliau seorang yang thiqah, thabit dan hujah serta banyak meriwayatkan hadith. Meninggal dunia pada tahun 220 Hijrah. (Lihat Tahzib al-Tahzib, 7/230-234)
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media