Soalan:
Saya agak keliru dengan perkataan sertu atau samak. Apakah beza dua perkataan ini?
Jawapan:
Persoalan yang ditanyakan di atas adalah berkait dengan perintah Allah SWT yang memerintahkan hamba-hambanya untuk bersuci. Ini seperti mana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَٰكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhu’lah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.” (Surah al-Maidah: 6)
Selain itu, kebersihan ini turut ditekankan di dalam hadith:
إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ ، فَنَظِّفُوا ، أُرَاهُ قَالَ ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ
“Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.” [Riwayat al-Tirmidzi (2799)]
Oleh itu, antara kaedah untuk membersihkan sesuatu adalah dengan kaedah samak atau sertu. Kedua-dua perkataan ini perlu diperhalusi daripada sudut bahasa dan penggunaanya dalam istilah fiqh.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sertu ialah menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, menyamak. [http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=samak]
Manakala, samak pula mempunyai beberapa makna. Antaranya ialah bahan zat yg digunakan untuk memasak serta mewarnai kulit binatang, membersihkan najis mughallazah dengan air tanah sekali dan air mutlak enam kali, sejenis tumbuhan yang digunakan untuk menyamak kulit.
Maka, kekeliruan yang timbul berkemungkinan datang daripada takrifan sudut bahasa kerana menyamak juga mengandungi makna yang sama seperti sertu iaitu membersihkan najis mughalazah dengan air dan tanah.
Daripada sudut istilah ini, samak diambil daripada perkataan bahasa Arab, الدبغ yang bermaksud, kaedah menyucikan kulit haiwan yang boleh dimakan atau tidak, iaitu dengan menghilangkan darah, daging dan semua yang melekat pada kulit yang membusukkan jika tidak dibuang, dengan sesuatu alat yang tajam seperti tawas atau buah manjakani dan seumpamanya. [Lihat Matla’ al-Badrain (25)]
Bersertu pula adalah cara bersuci daripada najis mughalazah iaitu anjing dan khinzir dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu padanya air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau najis hukmi. Sama ada terkena pada pakaian, badan, atau tempat. [Lihat al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja (69)]
Hal ini disebutkan di dalam hadith yang riwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
“Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.” [Riwayat Muslim (279)]
Kesimpulan
Berdasarkan apa yang kami nyatakan di atas, kami nyatakan bahawa kekeliruan yang timbul adalah kerana sebilangan masyarakat yang terkeliru dengan dua perkataan tersebut daripada sudut bahasa. Kekeliruan yang berlaku akan menyebabkan kesalahan kepada pengamalan seharian.
Semoga kita diberikan kefahaman yang baik oleh Allah SWT dalam hal-hal agama. Amin.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media