Bapa Adib Fail Permohonan Terhadap Peguam Negara


Bapa anggota bomba Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital (hina mahkamah) berhubung kes inkuiri anaknya.

Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili keluarga, Kamaruzaman A Wahab kepada Koroner Rofiah Mohamad ketika prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu difailkan Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates di Mahkamah Koroner.

“Permohonan itu sudah difailkan pagi tadi,” katanya dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib, yang memasuki hari ke-40, hari ini.

Pada prosiding hari ini, saksi inkues ke-30, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Dr Amir Radzi Abd Ghani dipanggil ke mahkamah bagi memberi keterangan berhubung pengiraan daya hentaman ke atas bahagian dada Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Sumber: MyMetro

Sumber: Oh! Media