Soalan:
Saya pernah mendengar, ada yang mengatakan bahawa terdapat hadith yang menganjurkan bagi mereka yang ingin melakukan ibadah korban agar tidak memotong kuku dan juga rambutnya apabila tiba sahaja 1 Zulhijjah. Sejauh manakah kebenaran anjuran ini?
Jawapan:
Apabila sudah masuk bulan Zulhijjah (1 Zulhijjah) maka disunatkan bagi orang yang ingin berkorban untuk tidak memotong rambut di kepalanya, wajahnya, atau badannya, tidak juga memotong kukunya, sehingga dia selesai menyembelih korbannya. Hal ini berpandukan hadis daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
“Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” [Riwayat Muslim (1977)]
Al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim menyebutkan bahawa hadith ini, sebahagian ulama’ memahaminya dengan mengatakan haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang ada di badan serta memotong kuku dan ini adalah pendapat Sa’id bin al-Musayyib, Rabi’ah, Ahmad, Daud al-Zahiri, Ishak dan juga sebahagian ashab al-Syafi’e. Adapun al-Imam al-Syafi’e dan ashabnya yang lain, mereka mengatakan bahawa larangan tersebut hanyalah makruh tanzih dan bukannya haram.
Kesimpulan
Melihat kepada pendapat-pendapat yang ada di dalam permasalahan ini, kami nyatakan di sini bahawa bagi mereka yang ingin melakukan ibadah korban, apabila tibanya 1 Zulhijjah maka disunatkan untuk tidak memotong kuku, rambut serta bulu-bulu yang berada di badan sehinggalah selesai dia melakukan ibadah korban tersebut. Ini seperti mana pendapat al-Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi’e.
Antara hikmah yang disebut oleh Imam Nawawi Rahimahullah dalam syarahnya ialah larangan memotong kuku dan menggunting rambut bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka. Ada pendapat yang lemah menyatakan untuk menyerupai orang yang berada dalam keadaaan ihram di mana dia diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain. Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media