'2 ekor harimau yang ditemui itu mungkin haiwan peliharaan' - Perhilitan


Dua ekor harimau yang ditemui berkeliaran di sekitar Kampung Besul, Bukit Besi di Dungun pagi semalam berkemungkinan haiwan peliharaan berdasarkan sifatnya yang jinak, kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof.

Dr Abdul Malek berkata pihaknya mengesyaki dua ekor harimau yang dipercayai seekor betina dan anak jantannya itu adalah haiwan peliharaan yang dilepaskan oleh pemiliknya ke dalam hutan sebelum tersesat memasuki kawasan kampung.

"Selain itu kami juga beranggapan bahawa sifat jinak haiwan ini mungkin disebabkan faktor penyakit yang menyebabkan ia (harimau) kelihatan kurang bertenaga sehingga terpaksa dilepaskan ke dalam hutan.

"Bagaimanapun, kami tidak dapat pastikan perkara ini dengan tepat sebelum haiwan itu dapat ditangkap dan jika diikutkan binatang ini secara amnya sukar untuk dapat penyakit," katanya malam tadi ketika ditemui pemberita di lokasi harimau itu ditemui berkeliaran.

Semalam tular di laman sosial mengenai kehadiran dua ekor harimau di Kampung Besul, Bukit Besi sekitar 10 pagi dan perkara itu disahkan oleh Dr Abdul Malek.

Dr Abdul Malek berkata sejak petang semalam, pihaknya telah mengerah 20 kakitangan Perhilitan ke lokasi kejadian untuk mengesan serta menangkap dua ekor harimau itu.

Beberapa perangkap juga telah dipasang di lokasi yang dikenal pasti dan diharap akan membuahkan hasil dalam masa segera bagi menghilangkan kegelisahan penduduk kampung.

"Oleh itu saya minta untuk sementara waktu ini penduduk kampung menghentikan dahulu aktiviti hutan bagi mengelak risiko diserang.

"Jika terserempak jangan cuba bertindak berani dengan mendekatinya kerana bimbang akan diserang haiwan itu yang merasakan dirinya terancam," katanya.

Beliau juga menasihati penduduk kampung supaya bertenang dan bersabar kerana pihak Perhilitan sedang berusaha menangkap kedua-dua harimau itu.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my