Video Ainul Mardhiah mesra ‘berceloteh’ dengan ibu sentuh hati ramai

LONDON – Hati seorang ibu yang tetap menyayangi ketika anak sedang menanggung kepayahan, pastinya lebih berbunga dan gembira apabila kepayahan itu sudah diatasi.

Itulah yang jelas dirasakan Nurul Erwani Zaidi, 24, apabila dapat berinteraksi dengan bayinya Ainul Mardhiah sudah sedar setelah selamat menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200 gram di mulutnya.

Dalam satu hantaran video berdurasi 39 saat yang dimuat naik di akaun Facebook suaminya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, detik indah anak-beranak itu dirakamkan dan disunting bersama muzik latar iaitu lagu daripada kumpulan UNIC, dengan tajuk lagu yang sama dengan nama bayi lapan bulan itu.

Dalam video tersebut, bayi itu kelihatan seolah-olah sedang berbual dengan ibunya yang sedang mengagah, seakan-akan memahami apa yang diperkatakan oleh ibunya.

Bayi itu juga memberi reaksi comel dengan menggerakkan mulut serta mengelipkan mata tanpa melepaskan pandangan pada wajah ibunya.

Nurul Erwani ditemani suaminya sepanjang proses pembedahan itu dijalankan di sebuah hospital di London.

Terdahulu menerusi Facebooknya, Ahmad Safiuddin memaklumkan anaknya telah sedar selepas menjalani pembedahan tersebut.


“Ainul dah sedar, Alhamdulillah. Cuma masih dalam unit penjagaan rapi untuk pastikan Ainul betul-betul okey sebelum dipindahkan semula ke dalam wadnya yang biasa.

“Terus doakan Ainul kuat dan cepat sihat ya,” tulis Safiuddin.

Pada Selasa, bayi yang menderita kanser ‘germ cell tumor’ di bahagian mulut itu stabil selepas melalui lima jam pembedahan.

Hal itu dimaklumkan doktor pelatih surgikal yang bertugas di United Kingdom, Dr. Amalina Che Bakri, menerusi satu entri di Instagram.

Pembedahan dijalankan oleh sepasukan doktor pakar diketuai Profesor David Dunaway dan Dr. Juling Ong.



Sumber: kulihatlangitbiru.com