KUALA TERENGGANU: Pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris tidak mahu mencari alasan walaupun sedar berdepan tugas berat merantai pergerakan penyerang Perak pada aksi Liga Super di Stadium Perak malam esok.
Bekas pertahanan skuad T-Team itu yang diberi tanggungjawab besar mengemudi jentera pertahanan tengah ketika bertemu Melaka United malam kelmarin, sekali lagi berazam mahu mengunci pergerakan pemain skuad The Bos Gaurus itu daripada bergerak bebas dalam kawasan penalti.
Bagaimanapun, pemain yang mula mencipta nama bersama pasukan Harimau Muda itu mengakui tugas getir menantinya selepas gandingannya, Nasrullah Hanif Johan atau lebih mesra dipanggil Anas digantung dua perlawanan susulan menerima enam kad kuning.
Lebih perit jentera pertahanan skuad Penyu itu juga sudah pasti dibarisi pemain tempatan selepas pemain import baharu kelahiran Brazil, Luis Gustavo Camilo masih belum tiba selain ketiadaan arkitek, Lee Tuck yang digantung satu perlawanan susulan menerima tiga kad kuning.
"Semestinya kami mahu mencatat kemenangan bertemu Perak, kami tekad mahu merantai pemain lawan, tapi disebabkan pemain utama kami, Tuck dan Anas digantung perlawanan, kami harap sekurang-kurangnya dapat bawa pulang satu mata ke Terengganu,” kata Amirzafran, 25.
"Saya juga minta pemain yang akan ganti tempat Anas dan Tuck supaya dapat beri kerjasama yang terbaik kerana pasukan Perak bukan calang-calang pasukan, tambahan pula dengan kemasukan dua import baharu mereka di bahagian serangan – Ronaldo Henrique dan Raianderson Morais.
"Ketiadaan Camilo tidak menjadi masalah besar, cuma kami bimbang set-piece (situasi bola mati) kerana semua tahu pemain TFC puratanya rendah, tapi saya percaya pemain tempatan mampu melakukan yang terbaik."
Pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Mac lalu, finalis Piala Malaysia musim lalu itu terikat 1-1 hasil jaringan Wander Luiz dan sepakan penalti Tuck.
"Selepas rehat panjang selama enam bulan akibat kecederaan, setakat ini saya baharu beraksi empat kali, namun begitu kondisi permainan saya semakin baik, tapi saya sendiri masih belum berpuas hati.
"Apa yang saya harapkan bertemu Perak mampu mengembalikan semula corak permainan sebenar sebagaimana ketika beraksi pada saingan Piala Malaysia musim lalu," katanya. - Berita Harian