Soalan:
Apakah status nikah orang yang melakukan perbuatan syirik seperti percaya tangkal, azimat dalam perniagaan dan lain-lain? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Allah SWT mensyariatkan perkahwinan untuk manusia hidup dalam keadaan berkasih sayang dan harmoni. Allah SWT berfirman:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah al-Rum: 21)
Justeru itu, Islam menganjurkan supaya umat Islam memilih pasangan yang sekufu dengannya agar dapat hidup dengan aman dan tenteram. Sekufu bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dalam beberapa aspek, antaranya ialah agama dan kesolehan. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَنكِحُوا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ ۗ وَلَا تُنكِحُوا الْمُشْرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤْمِنُوا ۚ وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ ۗ أُولَـٰئِكَ يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَاللَّـهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (Surah al-Baqarah: 221)
Ayat ini merupakan larangan kepada orang yang beriman untuk menikahi pasangan-pasangannya dari kalangan orang yang melakukan syirik terhadap Allah SWT. Allah SWT memerintahkan orang lelaki dan perempuan yang beriman untuk memilih pasangannya dalam kalangan orang yang beriman juga dan tidak memilih daripada golongan yang musyrik walaupun yang musyrik tersebut menarik perhatian mereka. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 1:35)
Begitu juga, Imam Zakaria al-Ansari RH meletakkan kesolehan dan ‘iffah (menjaga maruah diri) sebagai salah satu daripada sifat kafaah (sekufu). Beliau RH menyatakan:
فَليْسَ فَاسِقٌ كُفْء عَفِيفَة وَ إِنَّمّا يُكَافِئُها عَفِيفٌ
“Seorang yang fasiq itu tidaklah sekufu dengan seorang yang menjaga maruah diri. Adapun orang yang sekufu bagi yang menjaga maruah diri itu, seorang yang menjaga maruah diri juga.”
وَ المُبْتَدِعُ لَيْسَ كُفْءُ سُنِّيَّة
“Dan seorang yang selalu melakukan bida’ah tidak sekufu dengan seorang yang sentiasa mengikut syariat yang betul.” (Rujuk Fath al-Wahhab Syarh Minhaj al-tullab, 2:67)
Definisi Syirik & Pembahagiannya.
Syirik bermaksud menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu. Ia terbahagi kepada dua jenis:
• Syirik Akbar (Syirik yang besar) iaitu mempercayai dan menyembah tuhan selain daripada Allah SWT Yang Maha Esa, dan ingkar kepada perkara yang diketahui daripada perkara agama secara darurah.
• Syirik Asghar (Syirik yang kecil) iaitu perbuatan yang menjadi wasilah kepada syirik akbar seperti menilik nasib, menggunakan tangkal dan sebagainya.
Perbuatan syirik kepada Allah SWT antara dosa-dosa besar yang Allah SWT memberikan ancaman azab kepada pelakunya. Allah SWT berfirman:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah al-Nisa: 48)
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu dengan-Nya dalam keadaan melakukan syirik kepada-Nya. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1:86)
Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu dengan-Nya dalam keadaan yang beriman.
Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walau bagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya samada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka. Ini kerana kita disuruh untuk melihat kepada perkara zahir tanpa menilik kepada hal yang tersembunyi di hati seseorang. Ini berdasarkan satu hadith:
إِنَّمَا نَحْكُمُ بِالظَاهِرِ ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
“Sesungguhnya kami menetapkan hukum daripada apa yang terlihat secara zahir dan Allah SWT jualah yang mengetahui segala yang tersembunyi.”
Justeru, hal yang demikian itu tidak menyebabkan ikatan perkahwinan terfasakh dengan hanya seseorang itu melakukan perbuatan yang melibatkan dosa besar kerana ia tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam.
Ini selain daripada perbuatan murtad iaitu keluar daripada agama Islam secara jelas, ikatan perkahwinan akan terlerai tanpa bergantung kepada hukum daripada pemerintah. (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 32:137)
Syeikh Hasanain Makhluf dalam fatwanya berkaitan seorang perempuan yang sudah berkahwin, mengaku murtad dan keluar daripada Islam kemudian menyesal dan kembali memeluk Islam, adakah terfasakh ikatan perkahwinannya?
Beliau menjawab: “Perempuan tersebut telah murtad dengan kata-katanya yang telah mengeluarkannya daripada Islam, maka terfasakhlah ikatan perkahwinan dia dengan suaminya. Walaupun dia telah bertaubat dan kembali kepada Islam, dia tidak halal bagi suaminya kecuali dengan akad dan mahar yang baru, juga dengan keredhaan dan mendapat keizinannya, selagimana perbuatan murtadnya tersebut bukan talak yang ketiga.” (Rujuk Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiah: 2:50)
Namun mengikut undang-undang perkahwinan di Malaysia, jika salah satu pasangan menukar agama, maka ikatan perkahwinan hanya akan terlerai setelah disahkan oleh mahkamah mengikut kepada Seksyen 46: Pertukaran Agama, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutan) 1984.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpandangan bahawa status nikah untuk orang yang melakukan syirik seperti menggunakan tangkal dan azimat adalah sah dan tidak terfasakh secara automatik. Walau bagaimanapun, dia berdosa besar dan hendaklah segera bertaubat daripada dosa yang dilakukannya tersebut dan kembali beramal soleh. Maka Allah SWT akan menggantikan dosanya dengan pahala kebaikan. Allah SWT berfirman:
إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَـٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّـهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Furqan: 70)
Jika perkara tersebut berlarutan, status perkahwinan itu adalah tidak sekufu dari sudut kesolehan dan ketaqwaan pasangan. Seorang yang fasiq dan selalu melakukan perkara bida’ah tidak sekufu dengan seorang yang mengikut syariat yang betul dan sentiasa beramal soleh. Tindakan undang-undang hendaklah diambil seperti membuat tuntutan fasakh mengikut peruntukan perundangan yang telah termaktub dengan merujuk kepada pengamal undang-undang syariah.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih terhadap agamanya dan memberikan taufiq untuk terus melaksanakan ibadah ikhlas kerana-Nya. Amin.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media