Setelah Avengers: Endgame, kini pihak Marvel akan mengeluarkan filem terbaharu mereka, Spiderman: Far From Home yang diterajui oleh Tom Holland.
Pembabitan Tom sebagai Spider-Man dan Peter Parker mula diketengahkan pada 2016 menerusi filem Captain America: Civil War. Ini diikuti dengan filem Spider-Man: Homecoming pada 2017 yang ketika itu mendapat bimbingan mentornya, Tony Stark lakonan Robert Downey Jr.
Sehingga kini, Tom yang mula aktif dalam karier seni lakon di Hollywood sejak 2008 sudah membintangi lima filem siri Marvel.
Bagaimanapun, diakui satu cabaran besar buatnya untuk memastikan Spider-Man: Far From Home mampu mencapai kutipan pecah panggung selepas fenomena dicetuskan Avengers: Endgame.
Walaupun mengharapkan ‘magis’, apa yang menarik bagi Tom apabila dia yang masih hijau pengalaman di Holywood kini mampu menjalin hubungan persahabatan rapat dengan Robert Downey Jr, yang juga pelakon ternama kesukaan ramai.
Pelakon kelahiran Britain itu dalam satu temu bual berkata, dia tidak menyangka Robert masih mahu memantau dan memberi perhatian kepada perjalanan karier lakonannya.
“Saya fikir persahabatan dengannya (Robert) sudah berakhir selepas Avengers: Endgame. Saya seperti tidak percaya dia sanggup menghubungi saya pada jam 2 pagi di London.
“Pada waktu awal pagi begitu, saya tidak terfikir langsung mahu menjawab panggilan itu, apatah lagi menyemak siapa pemanggilnya,” katanya. Menurutnya, dia berasakan sering ‘diselamatkan’ Robert yang sanggup menghubungi dan ingat kepadanya.
Tom berkata, dia tidak melepaskan peluang menghubungi segera Robert untuk memohon maaf. Katanya, dia lega apabila Robert tenang menjawab panggilan dan tidak terasa hati dengan perbuatan itu. Dia gembira dapat berkongsi banyak perkara berkaitan karier lakonan dengan Robert.
Bermula 3 Julai ini, penonton di Malaysia sudah boleh menonton aksi adiwira labah-labah pujaan mereka dalam, Spider - Man: Far From Home.
Sumber: MyMetro
Sumber: Oh! Media