“SELAMAT tinggal sayang, biarlah berakhir begini, abang tidak pernah menyesal ketika bersama sayang, assalamualaikum.. salam terakhir.”
Itu nota terakhir yang ditulis buruh lelaki berusia 25 tahun yang menggantung diri dengan tali di pokok rambutan di belakang rumahnya di sebuah kampung di Kuala Krai, 1.37 tengah hari ini.
Nota itu ditemui di dalam poket baju lelaki terbabit yang ditujukan kepada isterinya berusia 42 tahun.
Lelaki itu ditemui mati oleh isterinya kira-kira 100 meter dari rumah mereka di kampung itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, hasil soal siasat sebelum kejadian, lelaki itu mengambil isterinya yang bekerja di hospital berhampiran, kira-kira 8 pagi.
Katanya, sebaik tiba di rumah berlaku sedikit perbalahan, dipercayai kerana lelaki itu cemburu terhadap isterinya.
“Pada 1 tengah hari, wanita itu melihat suaminya keluar dari rumah sambil memegang tali.
“Selepas selesai memasak, wanita itu mencari suaminya di sekitar rumah dan menemui lelaki itu menggantung diri di belakang rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui satu nota di dalam poket baju mangsa.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat,” katanya.
Sumber: kulihatlangitbiru.com