Muat naik foto di laman sosial, kemudian padam, selepas itu, berahsia. Itulah yang berlaku apabila usahawan kosmetik, Joy Revfa belum sedia berkongsi cerita konon majlis merisik diadakan di kediamannya, baru-baru ini.
Mencetuskan spekulasi, foto dirinya bersama anak dan jejaka yang ditutup wajahnya dengan 'sticker, menjadi topik perbualan dalam kalangan pengikut apakah wanita itu mahu mendirikan rumah tangga.
Keterangan gambar berbunyi 'ini majlis ibu atau Arryan (nama anak)?' menambah teka-teki. Tidak cukup itu, gosip mendakwa jejaka yang dirakam foto itu adalah pelakon, Fahmy Reza, menguatkan lagi spekulasi Joy dirisik.
Ramai meneka Fahmy adalah jejaka terbabit berdasarkan foto menampakkan persalinan sama yang dimuat naik pelakon itu di Instagram miliknya. Ditanya mengenai spekulasi yang bertebaran, Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin mengaku sedang mencari 'imam' terbaik.
"Biarlah rahsia dahulu...Saya dalam proses mencari ‘imam’ terbaik. Kami dalam proses mengenali hati budi. Lagipun keluarga kami saling mengenali sejak dahulu lagi. Kami baru dipertemukan tanpa mengetahui keluarga kami sudah lama berkawan," katanya.
Joy yang pernah dua kali mendirikan rumah tangga termasuk dengan Hafiz Hamidun namun bercerai pada 2017, berkata, apabila sudah ada ikatan pasti, barulah dia akan memperkenalkan jejaka terbabit.
"Ketika ini, saya bimbang mendedahkan identiti dirinya. Takut kalau benda yang tak diingini berlaku. Sebab itu saya memilih memadam entri foto saya bersamanya. Ini kerana bimbang ada spekulasi yang tak diingini, sekaligus membuatkan hubungan keluarga kami jadi tak baik. Kalau semuanya lancar, saya akan layangkan jemputan majlis pertunangan kami," katanya.
Mengenai tekaan ramai jejaka itu adalah Fahmy, Joy mahu ia terus menjadi tanda tanya. Joy berharap dipertemukan dengan lelaki yang mampu membawa dirinya ke jalan diredai.
"Memang ramai yang cuba meneka siapa dia...Tapi biarlah dahulu. Saya berharap disatukan dengan lelaki yang mampu membawa diri ini dan anak bersama ke syurga. Doakan saya berjaya mencari imam terbaik yang boleh menjaga dan membimbing diri ini," katanya.
Sumber: Oh! Media