"Saya Anggap Tiada Jodoh Antara Kami" - Bekas Suami A Aida


Tampil bersuara, Ariff Aziz iaitu bekas suami penerbit, Datuk A Aida, menyifatkan perceraian mereka sebagai suratan takdir dan ada hikmah tersendiri. Ariff yang diburu media sejak A Aida mengumumkan perpisahan mereka semalam, dia bagaimanapun mendoakan yang terbaik untuk bekas isterinya selama 10 bulan itu.

"Saya anggap tiada jodoh antara kami. Ada hikmah atas perpisahan ini. Allah saja yang tahu. Tak perlu gaduh-gaduh. Alhamdulillah untuk dia, saya doakan yang baik-baik sahaja. Alhamdulillah, daripada tidak memakai tudung sebelum berkahwin, dia memilih untuk menutup aurat. Sekarang, dia masih dengan imej sama. Saya harap dirinya terus istiqomah," katanya

Akur hidup perlu diteruskan, Ariff yang berusia 30 tahun, gembira dengan rutin hariannya selepas bergelar duda. Ariff yang kini kembali bekerja sebagai pakar web sempat menitipkan ucapan untuk anak tirinya terutama Muhammad Rahul.

"Saya gembira dengan kehidupan sekarang. Saya boleh buat banyak benda yang diminati sejak belajar di universiti dahulu. Saya boleh buat aktiviti sukan termasuk bermain bola keranjang bersama teman-teman. Sejak usia 13 tahun saya meminati sukan ini dan mewakili negeri Kedah.

"Paling utama saya mahu fokus menjaga mama yang tak berapa sihat. Doakan kesihatan mama saya kembali okay. Doakan saya berjaya di dunia dan akhirat. Untuk Rahul, daddy selalu sayangkan kamu. Jaga diri. Terima kasih untuk kasih sayang yang kamu zahirkan untuk daddy," katanya.

Semalam, A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang mengesahkan dia sudah bercerai dengan Ariff sejak 25 April lalu. Baik A Aida mahupun Ariff masing-masing memilih untuk tidak mendedahkan secara jelas punca perpisahan mereka. A Aida dan Ariff berkenalan sejak 2015 ketika menjalinkan kerjasama dalam beberapa projek drama terbitan A Aida Productions.








Sumber: Oh! Media