Tidak diketahui puncanya, seorang remaja berusia 19 tahun bertindak memecahkan cermin dan memancitkan semua tayar kereta milik ibunya kemudian melarikan diri dari rumah. Bagaimanapun, remaja perempuan itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kuala Nerang, Kedah semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, remaja perempuan berusia 19 tahun dari Kuala Nerang itu ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika rondaan cegah kemalangan setelah mendapati kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan remaja itu.
“Pada mulanya, pihak polis hanya ingin mengeluarkan saman atas kesalahan tiada lesen memandu terhadap remaja yang bekerja sebagai pelayan pusat hiburan di Alor Setar itu, namun kami mendapati remaja itu memiliki rekod ‘Orang Dikehendaki’ bersangkut kes di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat yang dilakukan pada 25 Februari lepas selepas membuat semakan melalui aplikasi MCops OKS”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Susulan itu, remaja berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut selepas penerangan sebab-sebab tangkapan dimaklumkan,” katanya.
Sumber : New Malaysian Post
Sumber: Oh! Media