Penumpang cemas bas ekspres terbakar di Setiu

TINDAKAN pantas pemandu ekspres mengarahkan semua penumpang turun berjaya menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa kebakaran.

Dalam kejadian 10.30 pagi, bas ekspres dua tingkat membawa enam penumpang serta dua pemandu terbakar hampir 90 peratus berhampiran persimpangan lampu isyarat Chalok arah Kuala Terengganu, hari ini.

Bagaimanapun semua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Besut ke Kajang, Selangor terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu bas, Hilmi Mamat,46, berkata, dia ternampak asap pada bahagian enjin bas ketika berhenti di lampu isyarat itu, sebelum memperlahankan bas dan parkir di bahu jalan.

“Bimbang kejadian buruk berlaku, saya dan seorang lagi pemandu bas segera mengarahkan semua penumpang turun.

“Selang beberapa minit, berlaku letupan dan saya cuba untuk memadamkan kebakaran tetapi tidak berjaya kerana api marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok, Permaisuri.

Hilmi berkata, tiada sebarang masalah berlaku sepanjang perjalanan dari Kuala Besut sekitar 9 pagi.

Dia yang sudah sembilan tahun berkhidmat sebagai pemandu bas ekspres berkata, kejadian ini kali pertama berlaku dan dia lega kerana kejadian dapat dikesan lebih awal serta dapat mengelakkan sebarang kemalangan jiwa.

“Bagaimanapun semua barang penumpang tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Sulaiman Merah berkata, mereka menerima panggilan kira-kira 10.40 pagi, dan tujuh anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, api terlalu marak dan anggota terpaksa menggunakan empat aliran hose reel dari dua jentera bomba dan sumber air dari pili bomba berhampiran kerana kehabisan air dari jentera bomba.

“Kami mengambil masa 25 minit untuk mengawal kebakaran sehingga terkawal dan operasi tamat pada jam 11.47 pagi,” katanya.

Sementara itu, penumpang Addiernizam Abdul Aziz, 35, dari Pulau Perhentian berkata, dia menaiki bas ekspres terbabit untuk Aidilfitri di Subang, Selangor.

“Saya bersyukur kami semua terselamat,” katanya.

Semua penumpang meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan sebuah lagi bas ekspres milik syarikat sama.



Sumber: kulihatlangitbiru.com