CHUKAI – Seorang pelajar maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 7, Jalan Ibok-Payoh, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan 3 petang, Muhammad Adib Mohd, 15, yang tinggal di Perumahan Mampu Milik Kampung Baru Kerteh, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Rakannya yang juga pembonceng, Muhammad Hakim Syazwan Noor Mazni Shah, 15, cedera di kaki dan patah tangan dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Ibok ke Payoh dipercayai terbabas ke laluan kanan jalan.
Beliau berkata, pada masa sama, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah bertentangan gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan dua mangsa tercampak ke atas jalan dan penunggang motosikal disahkan meninggal di tempat kejadian.
“Mangsa yang parah dibawa ke HK untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta yang berasal dari Kerteh tidak cedera.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HK untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.
Sumber: kulihatlangitbiru.com