KUALA TERENGGANU – Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan lemas di taman rekreasi Lagun Kuala Ibai berdekatan Masjid Terapung, di sini pagi tadi, ditemui petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Abdullah Zawawi Mohamed berkata, mayat Muhammad Aidil Muhammad Ghazali ditemui terapung pada 4.48 petang, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.
“Ketika mangsa dijumpai pasukan penyelamat, air ketika itu tengah surut dan ini memudahkan operasi pencarian,” katanya ketika dihubungi mengenai penemuan mayat kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.
Abdullah Zawawi berkata mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muhammad Aidil yang datang ke taman rekreasi itu bersama keluarganya sebelum ini dilaporkan terjerumus ke dalam air dan hanyut ketika bermain di gigi air.
Mangsa datang ke situ bersama keluarga yang pulang dari Johor Bahru, Johor ke kampung ibunya di Kampung Tanjung di sini sempena Hari Raya.
Pihak bomba dan penyelamat menggunakan kaedah pencarian di permukaan air menggunakan sebuah bot dan tiga anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman untuk mencari kanak-kanak itu.
Orang ramai turut membantu pasukan penyelamat mencari mangsa menggunakan dua bot.
— BERNAMA
Sumber: kulihatlangitbiru.com