KUALA LUMPUR – Memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu merupakan antara perkara yang perlu diperbetulkan oleh agensi itu semasa sesi ‘townhall’ Konsultasi Rakyat baru-baru ini.
Pengerusi Panel Penasihat Bebas Konsultasi PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim berkata, langkah pihaknya menganjurkan ‘townhall’ tersebut untuk mengumpul maklum balas berkenaan 10 idea yang dikemukakan selain meningkatkan pemahaman tentang fakta penting serta menjawab persoalan.
“Terdapat dua janji dalam manifesto mengenai PTPTN iaitu penghapusan larangan perjalanan ke luar negara dan ia telah dilaksanakan sejurus selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) serta penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.
“Satu daripada janji-janji itu sudah dipenuhi dan kini Kabinet akan membincangkan sejauh manakah mampu memenuhi janji kedua apabila kami mengemukakan kertas cadangan terakhir yang mengandungi maklum balas rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sheikh Shahruddin berkata, fakta tersebut dibentangkan dalam Kertas Konsultasi Rakyat berserta butiran lebih mendalam berkaitan sebab serta kesan.
“Misalnya, jika penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan RM4,000 dan ke bawah diperkenalkan, kutipan PTPTN akan jatuh sebanyak satu pertiga iaitu kepada hanya RM950 juta setahun kerana 68 peratus daripada peminjam PTPTN mempunyai gaji di bawah paras gaji tersebut.
“Kertas Konsultasi ini juga mengunjurkan seorang siswazah baharu dengan gaji permulaan sebanyak RM2,000 dengan kenaikan gaji tahunan sebanyak lima peratus akan mengambil masa 15 tahun untuk memperoleh gaji RM4,000,” ujarnya.
Berhubung seruan untuk memansuhkan PTPTN, katanya, rakyat bebas membuat cadangan itu dengan syarat mereka sedar dan mampu menerima kesan yang mungkin dihadapi serta mempunyai idea lebih baik menangani isu tersebut.
“Dalam Kertas Konsultasi Rakyat, PTPTN menyatakan sekiranya agensi itu dimansuhkan bermakna sektor swasta terpaksa menyediakan pinjaman pendidikan tinggi. Pada masa ini, PTPTN mengenakan Ujrah sebanyak satu peratus manakala pinjaman komersial dengan kadar faedah yang lebih tinggi akan membebankan peminjam masa depan.
“Pinjaman komersial yang mempunyai syarat kelulusan lebih ketat mungkin akan mengenepikan pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) atau mereka yang berada dalam kedudukan kewangan lemah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sheikh Shahruddin memberitahu, pihaknya berharap agar orang ramai tampil memberi maklum balas menerusi Konsultasi Rakyat yang dilancarkan sejak 16 Mei lalu, dan bukannya mereka yang telah mengambil pinjaman PTPTN sahaja.
Kata beliau, sehingga kini, konsultasi rakyat hanya merekodkan sebanyak 18,862 penyerahan maklum balas daripada 180,163 pengunjung dalam laman sesawang itu.- UTUSAN ONLINE
Sumber: kulihatlangitbiru.com