Latheefa tak kejar nama, jawatan dan wang ringgit – Zuraida

KUALA LUMPUR – Bekas Anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya disifatkan sebagai seorang aktivis dan ahli politik yang tidak mengejar nama, jawatan mahupun wang ringgit semata-mata.

Sebaliknya, bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu sentiasa menolak apa jua tawaran bertanding dalam pelbagai jawatan, termasuk peluang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen selain kedudukan dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin mendedahkan keperibadian Latheefa yang dikenalinya sebagai seorang yang gemar berjuang bermati-matian bagi menegakkan kebenaran walaupun ada kala memakan diri sendiri.

Kata Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), beliau kecewa dengan segelintir pemimpin khasnya yang mengenali Latheefa serta perjuangannya bukan sahaja dalam parti, sebaliknya secara umumnya.

“Mungkin sudah lupa, Latheefa juga yang berjuang bermati-matian dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika itu dia telah dihalau sehingga tidak boleh masuk ke penjara Sungai Buloh. Ini hanya salah satu daripadanya. Banyak lagi contoh.

“Latheefa memiliki latar belakang profesional sebagai seorang peguam dan aktivis serta menjadi pilihan terbaik kerajaan dalam mereformasikan tadbir urus yang lebih telus. Beliau kendalikan pelbagai kes berprofil tinggi berkepentingan awam tanpa gentar.

“Ada juga tawaran yang diberikan kepadanya sebelum ini, jawatan seperti ADUN, MP malah duduk dalam GLC semuanya beliau akan tolak mentah-mentah. Begitu besar pengorbanan beliau sejak dulu.

“Ini bukan jawatan mudah, malah sangat berbahaya tapi beliau sanggup untuk memikul tanggungjawab ini. Kepada pihak-pihak yang tidak ‘berpuas hati’ ini, kurang selesa dengan lantikan, janganlah polemikkan isu ini.

“Kita hendak melakukan reformasi, semua perlu terbuka dalam agenda reformasi seperti ini, jika kita yang melawan, kita halang reformasi, ini kita anggap ‘reverse’ reformasi. Sabar dan lihat dulu kebolehan beliau menerajui jawatan ini sebelum melompat memberikan pandangan.

“Memang dia layak untuk mendapatkan jawatan ini, jangan lupa Latheefa juga berjuang bersama-sama anda untuk Malaysia baharu ini, beri peluang itu terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka di Ampang hari ini.

Jelas Zuraida, walaupun ada pihak yang cuba memberikan alasan janji manifesto dalam Pakatan Harapan (PH), badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melapor terus kepada Parlimen namun ia belum lagi dilaksanakan lagi.

“Itu belum dibuat lagi malah lantikan ini adalah sesuatu ke arah kebaikan, Latheefa sebenarnya adalah orang luar bukan akar umbi yang mampu memberikan keputusan jauh lebih neutral sebenarnya.

“Kita hormat tindakan Tun Mahathir yang melantik sendiri Latheefa mengikut perkiraan beliau sendiri daripada berbincang dengan Kabinet. Mungkin ini akan membawa kepada perkara yang lebih baik dalam berjuang menjadikan negara bebas rasuah.

“Mengapa sesuatu yang baik kita perlu politikan atau polemikkan seperti ini? Saya sangat berbangga seorang wanita seperti Latheefa diberikan peluang ini bagi menerajui sebuah badan yang bukan senang dan calang-calang.

“Cukuplah, hentikan polemik ini,” ujarnya.

Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun, berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong. –MalaysiaGazette



Sumber: kulihatlangitbiru.com