Kapten Terengganu FC II (TFC II), Akanni Sunday Wasiu, menegaskan dia tidak terkesan dengan kegagalannya menambah koleksi gol dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Penyerang berusia 35 tahun itu turut mengakui situasi itu tidak menganggu fokusnya kerana sentiasa mendapat kepercayaan daripada rakan sepasukan dan ketua jurulatih.
Akanni mula menyinar bersama UiTM FC dan menjaringkan 19 gol pada 2017 sebelum berhijrah ke TFC II dan mencetak 12 gol dalam musim 2018.
Begitupun, kelibatnya dalam 14 aksi setakat ini dilihat tidak menjadi selepas hanya merekodkan dua gol ketika bertemu Selangor United (Februari) dan Sarawak, April lalu.
"Saya beraksi untuk pasukan dan rakan-rakan tahu kelebihan saya. Jadi, saya tidak mengambil pusing selagi kami bermain sebagai satu unit.
"Fokus utama sekarang adalah untuk kekal positif menamatkan baki enam perlawanan dalam kelompok atasan," tambah pemain kelahiran Nigeria itu.
Tumpuan Akanni kini terarah kepada misi kemenangan dalam kunjungan ke Pasir Gudang untuk berdepan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Jumaat ini.
Menurutnya, TFC II berada pada momentum terbaik dengan hanya ketinggalan tiga mata di belakang JDT II dan pendahulu, UiTM FC.
"Kami tidak bernasib selepas keciciran mata di tempat sendiri kepada Sarawak, PDRM dan Kelantan sebelum ini tetapi masih di landasan tepat.
"Rakan-rakan sudah tidak sabar dan kami akan turun bukan untuk seri, sebaliknya mahukan tiga mata," katanya. - Arena