Seorang lelaki di China terkejut apabila dia menerima surat saman beserta gambar daripada sistem pengecaman muka yang merakam dia sedang menggaru muka ketika memandu. Memetik laporan akhbar tempatan China, Jilu Evening Post, pemandu berkenaan yang hanya dikenali sebagai Liu, dia sebenarnya hanya mengangkat tangannya untuk menggaru muka ketika melalui kamera trafik berkenaan, Isnin lalu.
Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, Liu menerima surat saman menyatakan dia telah melanggar undang-undang jalan raya kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Gambar dari kamera trafik juga turut diserahkan kepadanya.
Akibatnya, dia dikenakan dimerit dan diarahkan membayar denda sebanyak 50 yuan (RM30). Walaubagaimanapun dia cuba berbincang dengan pihak berkuasa mengenai perkara itu, namun tiada pegawai yang mahu melayani panggilan telefonnya.
Sementara itu, The Global Times melaporkan saman tersebut telah dibatalkan kerana siasatan mendapati, lelaki itu hanya menggaru mukanya.
Pihak berkuasa menjelaskan, kamera pengawasan trafik akan merakam gambar pemandu secara automatik jika melakukan kesalahan. Namun, timbul salah faham kerana tindakan Liu menggaru muka dianggap sedang menggunakan telefon bimbit.
Sumber : New Malaysian Post
Sumber: Oh! Media