KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang disifatkan menghina kebijaksanaan anak muda apabila mendakwa golongan itu yang mengundi Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘tidak mengaji agama’, sebaliknya ‘mengaji dengan telefon bimbit dan media sosial’.
Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata dakwaan seumpama itu menunjukkan tahap tarbiyah Islam PAS sudah gagal.
Katanya, kegagalan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah kerana kelemahan parti itu sendiri, namun Abdul Hadi mengalihkan kesalahan itu pada anak muda dan teknologi.
“Kelemahan ini adalah kelemahan mereka sendiri, tetapi anak muda dan teknologi yang dijadikan kambing hitam oleh ulama PAS.
“Sikap ini tidak menggambarkan kearifan mereka dalam berdakwah dengan hikmah, sebaliknya kerap menyalahkan pihak lain yang lebih mendekati rakyat dan membawa perjuangan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-59 di Kuantan, Pahang, Abdul Hadi mendakwa hampir 30 peratus pengundi muda beragama Islam yang memilih PH pada PRU-14, didakwa ‘mengaji’ melalui media sosial sebelum membuat pilihan menukar kerajaan, serta kurang ilmu agama sehingga gagal memahami Islam mengikut takrifan sebenar.
“Kira-kira 30 peratus pengundi muda berumur 21 tahun (yang mengundi PH) tak mengaji kitab, (tidak) mengaji agama, sebaliknya mengaji dengan telefon bimbit, dengan Facebook, dengan WhatsApp.
“Tahap kefahaman mereka dalam masa singkat menerusi WhatsApp sebelum membuat sikap (pendirian) politik. Keputusan politik tidak boleh dibuat dengan kajian dua atau tiga minit tetapi untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.
Syed Saddiq berkata, anak muda menolak PAS dan UMNO kerana muak dengan naratif politik yang disulam sentimen perkauman dan agama serta menyalahkan pihak lain, menyebabkan mereka beralih menyokong hujah politik PH.
“Ini bukan salah anak muda, sebaliknya pemimpin PAS sendiri yang tidak memahami idealisme dan selera anak muda,” kata Menteri Belia dan Sukan itu.
Syed Saddiq turut membidas hujah Abdul Hadi yang mempertahankan UMNO, menyindir Ahli Parlimen Marang itu dengan mempersoalkan sama ada beliau ahli seumur hidup UMNO Bahagian Marang.
“Adakah dakwaan Abdul Hadi (90 peratus pengundi bukan Islam mengundi PH) ini bermaksud mereka salah kerana mengundi untuk menolak rasuah? Adakah mengundi bagi menolak rasuah itu hukumnya haram menurut faham agama Abdul Hadi.
“Adakah mereka yang mengundi PH untuk menolak kerosakan yang dibuat ke atas Tabung Haji, FELDA dan institusi negara yang lain salah di sisi agama atau undang-undang,” katanya.
Sumber: kulihatlangitbiru.com